7 beradik tidak bersekolah dibantu - Exco
Sudah empat hari sesi persekolahan 2018 bermula, namun tujuh daripada lapan beradik dari Taman SP Heights dekat Sungai Petani, tidak dapat meneruskan persekolahan akibat masalah kewangan yang dialami keluarga mereka.
Masalah dihadapi anak-anak kepada pasangan Mohamad Saad, 39, dan Rosilawati Josut, 36, itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) merangkap Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Tajul Urus berkata tujuh beradik berusia enam hingga 15 tahun itu bersekolah pada tahun lepas dan beliau akan membantu agar mereka dapat kembali bersekolah secepat mungkin.
"Saya difahamkan Mohamad merupakan anggota tentera berpangkat Koperal manakala isterinya seorang suri rumah, berdepan dengan masalah kewangan dan setelah disiasat, ia berpunca daripada masalah pembayaran pinjaman perumahan.
"Masalah kewangan semakin memuncak sejak dua bulan lepas, menyebabkan dia tidak hadir bertugas, malah lebih mendukacitakan, anak-anaknya juga tidak dapat dihantar ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga berkenaan di Taman SP Heights dekat Sungai Petani hari ini.
Tajul Urus berkata, beliau akan berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menempatkan dua daripada tujuh beradik itu, Ahmad Aiman Afif, 15, dan Nur Fatin Nazihah, 13, ke asrama sekolah dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh beliau.
"Lima anak lain termasuk yang bersekolah rendah, Nur Mimie Qairunisa, 9, Nur Adiya Afifi, 7, dua anak orang kurang upaya (OKU), Ahmad Aflin Alif, 11, dan Ahmad Mukhriz Amin, 10, serta Puteri Damia Qaleysha, 6, yang bersekolah tadika juga akan dibantu agar mereka dapat kembali bersekolah. Seorang lagi anak mereka berusia lima tahun.
"Masalah seperti ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang untuk anak-anak ini menuntut ilmu, sebab itu saya akan usahakan apa yang termampu bagi memastikan mereka dapat kembali bersekolah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai itu turut memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk keluarga terbabit tinggal di kuarters tentera bagi membolehkan Mohamad kembali bertugas.
"Bantuan permulaan berupa wang tunai RM1,000 dan barangan keperluan harian untuk sebulan, telah diserahkan bagi meringankan beban ditanggung keluarga ini bahkan beberapa pihak lain turut tampil menyampaikan sumbangan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PPD.
"Proses perpindahan ke kuarters itu kelak akan saya tanggung sepenuhnya, asalkan kanak-kanak ini dapat bersekolah kembali," katanya.
- Bernama

