Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata perbalahan dalaman di kalangan anggota Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menamakan calon perdana menteri mereka adalah umpama "drama keluarga" yang tidak menjanjikan kesudahan yang baik untuk rakyat.

Menurut anggota parlimen Teluk Intan itu, sehingga kini HARAPAN masih gagal bersepakat untuk menamakan calon perdana menteri walaupun pakatan berkenaan sudah wujud agak lama.

Pada masa sama kata Mah pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin menghampiri.

"Perbalahan berterusan sama macam satu drama keluarga apabila semua orang ada calon sendiri dan kemudian datang satu idea mengarut apabila mereka mencipta jawatan perdana menteri peralihan semata-mata untuk kepentingan seseorang yang lain," katanya pada perhimpunan Satu Hati di Kuala Lumpur hari ini.

Program itu diadakan secara bersama dengan MCA dan diadakan di ibu pejabat parti berasaskan kaum Cina berkenaan di Jalan Ampang.

Mah menyampaikan ucapan berkenaan dengan membaca teks dalam bahasa Mandarin.

Semasa ucapan berkenaan disampaikan penonton dipersembahkan dengan paparan imej pada skrin bersama sari kata bahasa Inggeris.

Mengakui tidak cukup fasih berbahasa Mandarin Mah menjelaskan, beliau tetap mahu menunjukkan kemampuannya di depan 2,500 perwakilan yang hadir, termasuk anggota Gerakan yang bukan berbangsa Cina.

Pada satu ketika Mah bertanya kepada pewakilan mengenai cadangan HARAPAN melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri walaupun ia ditentang sesetengah penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mungkinkah (akhirnya) Dr Mahathir akan melepaskan jawatannya kepada Anwar?" tanya Mah sambil menjelaskan bekas perdana menteri itu mungkin akan berundur untuk memberi laluan kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengisi tempat berkenaan.

[Baca berita penuh]