Dua orang pemimpin veteran DAP telah melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu untuk memberi laluan kepada bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof P Ramasamy, yang menyertai parti itu pada 8 September lalu.

Keputusan tersebut telah diluluskan di mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) malam tadi, apabila setiausaha biro antarabangsa, Ronnie Liu dan anggota CEC, S Sivanesan melepaskan jawatan masing-masing.

Perlantikan Prof Ramasamy (foto) sebagai ahli CEC dan setiausaha biro antarabangsa berkuatkuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Liu kekal sebagai anggota CEC dan akan terus mengetuai biro hal-ehwal badan bukan kerajaan (NGO). Sivanesan pula akan mengetuai biro buruh nasiolan DAP.

Iktiraf pengalaman

Ketika dihubungi hari ini, Prof Ramasamy berkata, beliau percaya perlantikannya memegang jawatan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman dan kepakarannya.

"DAP mahu mengiktiraf pengalaman saya selama 25 tahun, terutama dalam bidang perundingan damai," kata beliau yang dianggap sebagai pakar antarabangsa dalam pergerakan pemisah di Sri Lanka. Beliau turut terbabit dalam rundingan damai Aceh.

Ramasamy berkata, beliau akan meneruskan tugasan akademiknya, sebagai tambahan kepada Prof peranannya dalam bidang politik.

"Saya sudah bersara dan menerima pencen. Saya tidak mengharapkan sebarang ganjaran dengan menyertai DAP," katanya.

Julai lalu, UKM telah menamatkan kontrak bulanan perkhidmatan Ramasamy dengan universiti tersebut. Selepas itu, Prof Ramasamy menyertai DAP.