Sejak bertahun-tahun lalu, urusan pemberian pinjaman secara kecil-kecilan dilakukan oleh ceti dan pemberi pinjaman tradisional.

Kemudian muncul pemberi pinjaman yang mengiklankan peniagaan mereka melalui kad nama yang diletakkan pada cermin kereta, tempat menunggu bas atau dimasukkan ke dalam peti surat.

Tetapi nampaknya, peminjam wang di kurun ke-21 ini sudah melangkah setapak lagi dengan menawarkan perkhidmatan mereka melalui talian, dengan membeli iklan dalam lamanweb seperti New Straits Times.

Apabila iklan itu diklik untuk pinjaman2u.com ia membuka sebuah lamanweb yang direkabentuk kemas bernama Vault Credit Co.

Menurut halaman soal-jawab mengenai perkhidmatan tersebut, pinjaman antara RM10,000 hingga RM250,000 boleh mendapat kelulusan dalam tempoh 48 jam. Bakal pelanggan boleh mengisi permohonan melalui talian atau menyertai satu program rujukan.

Lamanweb itu turut menyiarkan nama dan nombor telefon dua ejen perkhidmatan pelanggan untuk menjawab sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan tersebut.

Perolehi permit

Ketika dihubungi malaysiakini, seorang ejen berkata, Siang Wang Trading KL, yang memiliki lamanweb tersebut, adalah sebuah syarikat berdaftar.

"Sejak kebelakangan ini, perniagaan tidak begitu baik. Jadi kami perlu mencari cara baru (untuk mendapatkan pelanggan)," kata ejen tersebut yang mahu dikenali sebagai Alan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, sambutan terhadap perkhidmatannya sejak dua bulan iklan itu disiarkan di lamanweb tersebut, juga tidak memuaskan.

Alan berkata, operasi syarikat berkenaan dijalankan secara sah, kerana ia memilik lesen peminjan wang dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dia juga berkata, syarikat berkenaan juga mempunyai permit iklan ia menggunakan permit yang sama untuk iklan di media cetak.

Semakan dengan Bank Negara mendapati, ia hanya mempunyai bidangkuasa ke atas institusi kewangan utama, manakala peminjam wang mendapat lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengikut Akta Peminjam Wang 1951.

Di segi undang-undang, maklumat tertentu perlu dimasukkan ke dalam iklan seperti nombor pendaftaran perniagaan, kadar faedah, tarikh sah, permit iklan, nama, alamat dan nombor telefon syarikat.

Ditanya mengapa alamat syarikatnya tidak disebut dalam iklan di lamanweb tersebut, Alan berkata: "Nombor telefon sudah memadainya."

Seorang pegawai di jabatan pelesenan kementerian tersebut, ketika ditanya sama ada pihaknya memantau iklan di internet, berkata, pihaknya hanya akan berbuat demikian jika menerima aduan