Bekas Perdana Menteri dan penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kontroversi yang menyelubungi Permit Diluluskan (AP) bagi mengimport kereta masih belum selesai.

Katanya, ini kerana persoalan masih wujud mengenai bilangan besar permit yang dikeluarkan, ditambah pula kerana hanya dua orang yang mendapat AP yang begitu banyak.

"(Dua) orang itu, setakat yang saya faham, memberikan AP itu kepada orang lain. Mereka tak buat apa-apapun. Saya agak apabila mereka berikannya kepada orang lain, tentulah ada bayaran," katanya,

"Jika mereka terima bayaran, tentu banyak wang yang mereka dapat. Berapa banyakkah cukai (pendapatan) yang mereka bayar bagi keuntungan yang mereka raih?" kata beliau pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptamanya di seminar "Budaya Memikirkan Kejayaan: Mengubah yang Mustahil Menjadi Kenyataan."

"Kalau nak bagi, bagi banyak oranglah. Ini bagi sampai 16,000 untuk satu orang atau kesemuanya lebih 30,000 untuk dua orang...sedangkan mereka yang ada bilik pameran dan menjalankan perniagaan kereta tidak mendapat satupun," katanya.

Beliau berkata, memberikan sejumlah besar AP kepada hanya dua orang tidak membantu Bumiputera menjadi usahawan dalam sektor automotif.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir juga berkata senarai 337 orang Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen yang menerima AP seperti yang dikeluarkan semalam "tak ada apa."

Ahli Parlimen layak

"Itu dasar. Ahli Parlimen layak dan orang lain juga layak kalau hendak mengimport kereta khas yang tak ada dijual di sini untuk kegunaan dirinya," katanya.

"Kalau ada orang hendak beli kereta untuk diri sendiri memangpun kita bagi AP dari dulu lagi, khususnya kalau kita punya diplomat nak balik sini dan bawa balik keretanya," jelas beliau.

"Apa yang menjadi persoalan ialah bukan isu AP, tetapi bilangan AP yang dikeluarkan. "Kalau banyak kereta import dibawa masuk ke negara ini, kereta buatan tempatan tidak akan laris jualannya.

"Kita masih mempersoalkan jumlahnya, dan keduanya, kenapa begitu banyak AP diberikan kepada hanya dua orang," tegasnya.

Pengisytiharan palsu

Sementara itu, Dewan Rakyat diberitahu bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan pengeluaran AP.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah juga memberitahu dewab hari ini bahawa pengeluaran AP tersebut tidak diselewengkan.

Menurutnya, tindakan telah diambil ke atas sebuah lagi syarikat kerana membuat pengisytiharan palsu nilai kereta diimport.

MITI, kata Ahmad Husni, akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan lain terhadap syarikat yang memegang AP.

Beliau juga berkata pengeluaran AP kereta diubahsuai semula ketika ini berada di bawah ruang lingkup Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. "Mereka akan memutuskan mengenai perkara itu.

Husni berkata satu kaji selidik telah dbuat bagi AP kereta diubahsuai semula, tetapi beliau tidak mendedahkan butir-butir selanjutnya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan semasa sidang Dewan Rakyat, beliau berkata MITI, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan akan mengambil langkah meningkatkan penguatkuasaan berkaitan pengeluaran AP.

Bagi MITI, katanya, kementerian itu mengamalkan ketelusan dalam pengeluaran AP. "Kita boleh menyiasat, tiada masalah."