Persidangan kedua Dewan Rakyat bagi bagi penggal kesebelas yang bermula hari ini, terus menjadi panas selepas beberapa minit bermula pada jam 10 pagi tadi, apabila berlaku jerit-menjerit antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Sebelum itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), ahli pertama yang mengemukan soalan lisan, bertanyakan sama ada Perdana Menteri menyokong cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai integriti nasional, pendidikan tinggi serta perdagangan dan industri antarabangasa.

Lim yang juga Ketua Pembangkang berkata soal integriti perlu dibincangkan secepat mungkin, khasnya bagi membasmi rasuah dan penyalahgunaan wang seperti laporan bahawa RM5 juta akan dibelanjakan bagi meraikan majlis persaraan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menjawab soalan itu berkata jawatankuasa khas itu, yang usul penubuhannya akan dibentangkan kelak, akan turut membincangkan tentang Ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang beliau sebut sebagai "bapa kemerdekaan DAP".

Jawapan itu serta-merta menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati Lim dan anggota DAP yang lain dan meminta Nazri menarik balik kenyataan itu.

Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) kemudiannya mengusulkan supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan tersebut.
Timbalan Speaker Datuk Lim Si Cheng membenarkan undian dibuat terhadap usul itu, namun undian yang dibuat berpihak kepada kerajaan.

Menurut Bernama, suasana hangat berterusan tetapi kembali tenteram apabila Timbalan Speaker meminta supaya soalan seterusnya di kemukakan oleh anggota lain.

Penduduk bantah

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Vellu bergegas keluar daripada persidangan Dewan Rakyat untuk bertemu kira-kira 100 orang yang membantah projek Lebuh raya Kuala Lumpur-Putrajaya bernilai RM1.3 bilion di luar pintu masuk ke Parlimen.

Samy Vellu, yang sepatutnya menjawab satu soalan di Dewan Rakyat, memutuskan untuk beredar ke pintu pagar Parlimen lalu berbincang dengan kumpulan itu.

Seorang pembantu menteri itu berkata soalan berkenaan tidak dibangkitkan berikutan kesuntukan masa.

Golongan pembantah itu membawa sepanduk menggesa kerajaan agar menimbang semula bahagian bertingkat projek lebuh raya itu yang begitu hampir dengan kediaman mereka.

Mereka mendakwa sebagai mewakili lebih 200 keluarga yang tinggal di sepanjang Jalan 2/149 di Bandar Baru Sri Petaling.

Mereka membantah pembinaan lebuh raya bertingkat itu, dengan mendakwa ia dibina hanya dua meter sahaja daripada rumah mereka.

"Saya menjelaskan kepada mereka mengapa projek itu perlu diteruskan," kata Samy Vellu kepada pemberita.

Mesti diteruskan

Beliau berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan sejumlah besar bayaran pampasan sekiranya projek lebuh raya bertingkat itu ditangguhkan atau melakukan penjajaran semula.

Samy Vellu berkata beliau menjelaskan kepada kumpulan berkenaan bahawa projek itu perlu diteruskan demi manfaat rakyat dan negara.

Katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia mengadakan pertemuan dengan penduduk terbabit baru-baru ini untuk memberi penjelasan tentang projek itu.

Beliau beredar selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit berbincang dengan wakil kumpulan berkenaan. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamad dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang.

Isu yang berbangkit ialah pakej 5 projek itu yang bermula dari Taman Salak Selatan yang melewati kawasan perumahan di Bandar Baru Sri Petaling dan berakhir di Bukit Jalil.

Laluan sepanjang kira-kira 1.25km di Bandar Baru Sri Petaling merupakan struktur bertingkat yang akan dibina di atas jalan sedia ada iaitu Jalan 2/149.

Projek Lebuh raya KL-Putrajaya sejauh 26km bermula dari bulatan Kampung Pandan ke Putrajaya.