Datuk Mohd Noor Hamat meninggal dunia
Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Polis Datuk Mohd Noor Hamat meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Pakar Damansara awal hari ini.
Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Polis Datuk Mohd Noor Hamat meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Pakar Damansara awal hari ini.
Penguasa Perhubungan Awam Polis Bukit Aman Supt Mohamed Daud berkata, Mohd Noor, 54, yang dimasukkan ke pusat pakar itu semalam meninggal dunia pada jam 5 pagi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di No. 22A, Jalan TR 9/5 Tropicana Golf and Country Resort, Damansara.
Menurut Bernama, jenazahnya akan dibawa ke Masjid Bukit Aman tengah hari ini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras.
Sebelum menyandang jawatan sekarang, Mohd Noor pernah menjadi Ketua Polis Pahang dan Ketua Polis Selangor.
Seorang pegawai dinamik
Sementara itu, ketua dan rakan sepasukannya, menyifatkan allahyarham seorang pegawai polis yang dinamik yang mahu membawa perubahan kepada pasukan itu serta seorang yang
pemurah.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Kamaruddin Md Ali berkata, beliau dan allahyarham adalah rakan lama dan sama-sama menyertai pasukan polis pada Jun 1970.
"Walaupun beliau bekerja di bawah saya, tetapi sebagai rakan, saya melihat beliau sebagai seorang yang sentiasa ingin memperbaiki pasukan polis ke arah yang lebih baik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman allahyarham di Tropicana Golf and Country Resort, Damansara.
Antara rancangan yang sedang diusahakan oleh Mohd Noor ialah mengkaji semula aspek latihan pasukan polis yang menyentuh integriti, polisi kemasyarakatan dan penugasan anggota.
Kamaruddin berkata, rancangan beliau ialah untuk meningkatkan lagi tahap latihan polis agar dapat memberi khidmat serta layanan yang lebih baik kepada rakyat mengikut syor Suruhanjaya Khas Penambahbaikan dan Perjalanan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Beliau juga sedang merancang untuk menubuhkan sebuah pusat latihan bersepadu yang melibatkan pelbagai cabang PDRM di Pahang," katanya.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Mohd Azmir Nazri berkata beliau juga ialah rakan skuad yang sama-sama menyertai pasukan polis dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga allahyarham.
"Saya dan keluarga pernah ke KLCC untuk bersiar bersama keluarga allahyarham. Beliau secara senyap-senyap memberikan wang saku untuk anak-anak saya berbelanja.
"Allahyarham siap pesan kepada anak-anak saya supaya jangan beritahu saya mengenai perkara itu," katanya sambil tersenyum mengenang budi baik Mohd Noor.
Bapa, kakak terperanjat
Bapa Mohd Noor, Hamat Sahmat, 86, berkata beliau agak terkejut dengan pemergian anak lelaki tunggal daripada lima beradik itu.
"Namun saya menerima pemergiannya dengan reda. Itu adalah kehendak Allah," katanya.
Kakak Mohd Noor, Hasmah, 56, berkata beliau berbual dengan Mohd Noor melalui telefon dua hari lepas bertanyakan khabar mengenai keluarga di Kampung Chempaka, Jalan Panji, Kota Bharu, Kelantan.
"Agak terkejut juga bila kami mengetahui pemergian beliau yang begitu cepat," katanya.
Bagi Hasmah, adik keduanya itu mempunyai sifat semulajadi yang selalu ingin membantu orang yang dalam kesusahan.
"Malah bila setiap raya puasa, dia mesti buat kenduri dan jemput orang kampung," katanya.
Mohd Noor meninggalkan seorang isteri Datin Haryati Jaafar, 52, dan empat orang anak iaitu Hanie Surya, 26, Mohd Hafiz, 24, Hanie Syahira, 19 dan Mohd Hariz, 14.
Jenazahnya dibawa ke Masjid Bukit Aman tengah hari ini untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras.

