Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib berkata beliau tidak akan hadir pada semua majlis perpisahan menjelang persaraannya mulai bulan depan bagi meredakan keadaan dan menjaga nama baik jabatan dan dirinya ekoran dakwaan kononnya RM5 juta dibelanjakan untuk tujuan itu.

Beliau juga mendakwa tuduhan itu dibuat oleh "orang dalam" Jabatan Kastam yang tidak sehaluan dengannya.

Abdul Halil ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat di sini hari ini sejurus tiba untuk menghadiri mesyuarat Pengarah Kastam Negeri mulai Isnin ini.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan mengenai acara-acara yang diaturkan sempena persaraan seorang Ketua Pengarah melibatkan perbelanjaan RM5 juta.

Semalam Abdul Halil menafikan perbelanjaan bagi majlis persaraan beliau mencecah angka RM5 juta itu sambil menyifatkan perbelanjaan sebanyak itu sebagai tidak masuk akal.

Abdul Halil berkata, majlis perpisahan untuk beliau seperti di Seremban pada 26 September ini dan Putrajaya pada 3 Oktober, boleh diteruskan tetapi beliau tidak akan menghadirinya.

"Begitu juga satu seminar di Sabah, saya tidak akan menghadirinya kerana tidak mahu ada pihak menuduh majlis itu adalah meraikan persaraan saya," katanya.

Majlis perpisahan

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, tiada arahan dikeluarkan kepada Jabatan Kastam di peringkat negeri bagi mengadakan majlis perpisahan untuk beliau.

"Yang terjadi apabila saya melawat Jabatan Kastam di negeri, mereka turut mengadakan majlis untuk saya, sedangkan tidak pernah ada arahan mengadakan majlis seperti itu," katanya.

Beliau berkata, tujuannya melawat ke negeri-negeri bukan untuk menghadiri majlis perpisahan, sebaliknya sebagai Ketua Pengarah, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang memberi kerjasama sepenuhnya dan bekerja kuat sehingga dapat meningkatkan hasil kepada kerajaan.

"Adakah menjadi satu kesalahan saya melawat anak buah saya untuk mengucapkan selamat perpisahan kepada semua kakitangan dan pegawai," katanya.

Abdul Halil melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan laporan yang dibesar-besar dan gembar-gemburkan itu.

"Ini semua fitnah untuk memburuk nama baik saya," katanya

Beliau berkata mesyuarat Pengarah Kastam Negeri di Langkawi diteruskan seperti biasa dan akan dirasmikan oleh pemangku Menteri Besar Kedah Datuk Mahdzir Khalid.

Abdul Halil berkata beliau datang dua hari lebih awal kerana hari ini dan esok adalah cuti

Sementara itu, Kesatuan Pegawai-Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia mahu siasatan dilakukan terhadap laporan kononnya RM5 juta akan dibelanjakan untuk majlis perpisahan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib.

Siastan dakwaan

Presidennya Nordin Abdul Hamid berkata, siasatan perlu dilakukan bagi menentukan kesahihan jumlah itu dan sumber wang yang akan digunakan.

"Sekiranya didapati benar duit jabatan digunakan, kesatuan akan memprotes dan mahu tindakan wajar diambil," katanya kepada pemberita hari ini.

Nordin yang juga Presiden Cuepacs turut menyifatkan jumlah RM5 juta itu agak mengarut dan tidak boleh dipercayai kerana sukar bagi seseorang ketua pengarah jabatan menerima jumlah tersebut bagi mengadakan majlis persaraan.

"Kesatuan berharap berita ini bukan digembar-gemburkan dan kita mahu butiran perbelanjaannya diumumkan," katanya.

Nordin berkata, beliau secara peribadi terkilan dengan laporan itu yang berlaku di saat akhir Abdul Halil akan bersara.

Katanya kesatuan itu pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan majlis perpisahan untuk beliau, tetapi beliau menolak.

"Kita bertemu sendiri dengan beliau bagi membuat majlis perpisahan kecil-kecilan untuk beliau, tetapi beliau berkata jangan membazir, cukup sekadar menumpang majlis rasmi yang dibuat jabatan.

Bunuh peribadi?

"Dengan penjelasan begitu, kita tidak nampak mengapa perkara ini berlaku," kata Nordin.

Beliau percaya ada pihak yang mahu `membunuh keperibadian' Halil yang sangat mesra dengan pagawai bawahannya.

Ura-ura bahawa khidmat Abdul Halil akan disambung, mungkin merupakan antara faktor laporan berkenaan dibuat, katanya.

Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (Perkasa) Razman Zakaria turut kesal dengan laporan itu dan menyifatkan sebagai tidak munasabah.

"Jumlah RM5 juta merupakan satu jumlah yang begitu besar dari wang kerajaan kerana apa-apa perbelanjaan adalah tertakluk kepada kelulusan Perbendaharaan. Dan setiap perbelanjaan wang awam adalah tertakluk kepada auditan Ketua Audit Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat pengarah negeri

Razman berkata sempena persaraan Abdul Halil pada 3 Okt ini, negeri-negeri yang beliau lawati sempena program tahunan jabatan seperti Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Mesyuarat Pengarah-pengarah, negeri-negeri yang dilawati itu telah menyerikan majlis berkenaan dengan aturcara bagi meraikan lawatan terakhir beliau sebelum bersara.

Ia merupakan amalan biasa bagi organisasi mengadakan majlis perpisahan kepada anggota yang akan bersara, katanya.

"Namun Tan Sri Abdul Halil tidak meminta untuk diadakan majlis tersebut bahkan beliau mengingati negeri-negeri supaya tidak memberi apa-apa hadiah atau cenderahati," katanya.

Razman berkata, Abdul Halil banyak membuat jasa dan membawa pembaharuan kepada jabatan sebagai Ketua Pengarah sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata dengan inisiatif Abdul Halil, Jabatan Kastam berjaya mengutip kira-kira RM25 bilion tahun lepas berbanding hanya RM14 bilion pada tahun 2000, iaitu sebelum kemasukan beliau ke jabatan tersebut.

Razman merayu agar tiada pihak yang mencemarkan nama baik Abdul Halil dan berharap kerajaan terus menyambung khidmat beliau.