Anwar temui pemimpin dunia di New York
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin dunia di New York bagi membincang isu reformasi dalam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin dunia di New York bagi membincang isu reformasi dalam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali memberitahu malaysiakini , Anwar telah mengadakan perbincangan bernas tentang isu tersebut dengan Menteri Luar Turki Abdullah Gul.
"Beliau menyatakan kepada Abdullah tentang perlunya reformasi dalam PBB supaya usaha badan dunia itu untuk menolong yelesaikan konflik, terutamanya yang melibatkan negara Islam, dapat diatasi," kata Azmin ketika dihubungi.
Anwar juga berpeluang berbincang isu tersebut dengan bekas Perdana Menteri Ireland, Mary Robinson yang juga bekas Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia.
"Satu lagi perbincangan beliau di New York ialah dengan bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Al Gore mengenai bukan sahaja reformasi dalam PBB, tetapi juga mengenai kemiskinan dunia," tambah Azmin
Lawatan rasmi
Katanya lagi, Anwar telah mengambil peluang untuk berbincang dengan ketiga-tiga pemimpin dunia berkenaan ketika mereka menghadiri sidang kemuncak PBB di New York yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, laman web rasmi Anwar melaporkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan bersama beberapa pemimpin PKR dalam lawatan rasmi ke Istanbul, Turki bermula esok.
Lawatan selama seminggu itu adalah atas jemputan khas parti pemeritah negara itu Parti Pembangunan dan Keadilan Turki.
Rombongan PKR diketuai oleh Ketua Angkatan Muda, Mohamad Ezam Mohd Nor dan beliau diiringi Timbalan Setiausaha Agung, Zahir Hassan; Pengerusi Perhubungan Negeri Pahang Zakaria Hamid; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Johari Abdul dan pengarang Suara Keadilan , Zunar.
Di sana, rombongan Keadilan itu dijadualkan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Parlimen dan kepimpinan Parti Pembangunan dan Keadilan Turki.
Mengikut laman web tersebut, tumpuan lawatan itu adalah untuk memberikan pendedahan terbaik kepada barisan pimpinan Keadilan dalam usaha memperkuatkan jentera parti.

