Kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad di Dewan Rakyat tidak berubah dan beliau juga tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk bercuti.

"Tan Sri Mohamed Isa masih seorang menteri dan ahli Parlimen," katanya. Pegawai Perhubungan Awam Parlimen, Ahmad Asri Zakaria. Persidangan kedua, penggal ketiga Parlimen Kesebelas akan bermula Isnin ini.

Mohamed Isa dikenakan hukuman gantung keanggotaan Umno selama enam tahun atau dua penggal oleh Lembaga Disiplin Umno pada 27 Jun lalu setelah didapati bersalah melanggar tata etika parti menjelang pemilihan Umno September lalu.

Beliau membuat rayuan terhadap hukuman itu dan keputusannya belum diketahui.
Bagaimanapun, kata Ahmad Asri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S. Sothinathan akan ditempatkan semula di tempat asalnya sebagai timbalan menteri.

Tempat duduk Sothinathan berubah, iaitu ditempatkan bersama-sama penyokong kerajaan pada persidangan dewan Jun lalu, berikutan penggantungan jawatannya sebagai timbalan menteri selama tiga bulan mulai 22 Jun lalu.

Isu AP

Sothinathan dikenakan tindakan penggantungan jawatan kerana mengkritik kerajaan di Dewan Rakyat berhubung isu penarikan pengiktirafan ijazah perubatan Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine pada persidangan dewan Jun lalu.

Sementara itu, isu pemberian Permit Import (AP), Proton dan Dasar Automotif Negara terus menjadi persoalan utama yang bakal dibangkitkan semasa sesi soal jawab persidangan kali ini.

Ahmad Asri berkata, turut disenaraikan dalam soalan lisan ialah masalah jerebu, harga minyak, kejayaan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan pelaksanaan RMK-9.

Menurut laporan Bernama, sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Bajet 2006 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada jam 4 petang 30 September ini.

Menurutnya, Dewan Rakyat akan bersidang selama 41 hari manakala Dewan Negara pula bersidang selama 10 hari mulai 7 Disember ini.

Persidangan Dewan Rakyat bagaimanapun akan ditangguhkan selama lapan hari mulai 31 Oktober hingga 10 November bagi menyambut perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri.

34 usul

Soalan lisan tertumpu kepada lima kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri (188 soalan), Kementerian Pelajaran (98), Kementerian Kewangan (78), Kementerian Pengajian Tinggi (63) dan Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (52).

Beliau berkata sebanyak 1,086 pertanyaan lisan telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dijawab manakala sebanyak 278 pertanyaan pula untuk jawapan bertulis.

Katanya, dua rang undang-undang akan dibentang untuk bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-undang Bank dan Industri Kewangan (Pindaan) 2005 dan Rang Undang-undang Bank Islam (Pindaan) 2005.

Dua lagi rang undang-undang akan dibentang untuk bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-undang Pinjaman (Tempatan) (Pindaan) 2005 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2005, katanya.

Menurutnya sebanyak 34 usul telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dibahas pada persidangan dewan kali ini.

Antara usul yang akan dibawa ialah kemasukan pelajar lelaki ke institusi pengajian tinggi menurun dari tahun ke tahun berbanding pelajar wanita dan menggesa kerajaan bertindak positif agar mendaftarkan kad prabayar dan kad pasca bayar bagi mengawal penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).