Hanipa: Jangan makan dek perasan 'akhi'
Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin mengingatkan agar PAS tidak terpedaya dengan jumlah keahlian yang meningkat semata-mata kerana ia bukan isyarat yang akan beri kemenangan dalam pilihan raya.
Hanipa berkata demikian sebagai merespons pertambahan anggota PAS yang mencecah jumlah paling tinggi dalam tempoh lima tahun yang dilaporkan melalui kenyataan naib presidennya Idris Jusoh di Harakahdaily semalam.
“Tahniahlah jumlah ahli meningkat. Cuma jangan mudah terpedaya dengan jumlah keahlian semata-mata.
“Dalam konteks politik pilihan raya, jumlah keahlian tidak secara automatik beri isyarat yg parti politik akan menang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook.
Dalam kenyataan sama, Hanipa mengambil contoh kehadiran orang ramai dalam perhimpunan di Terengganu yang beliau gelar sebagai “Himpunan Biskut Marie - himpunan spesis yang sama".
Hanipa dipercayai merujuk Himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, Terengganu pada 29 dan 30 Oktober lalu.
Bekas peguam PAS itu turut menyindir Idris yang menyifatkan perjuangan parti PAS seperti emas yang tulen yang dibakar dengan api untuk membuktikan ketulenannya.
“Baguslah jika perjuangan itu macam emas yang tulen. Cuma jangan mudah tertipu menyangka yang palsu seperti yang tulen. Adakalanya, yang palsu nampak serupa macam yang tulen khususnya di mata orang yang pandai dan bijak menilai.
“Tapi, bagi orang yang bangga jadi pak turut dan tidak mahu berfikir, apabila pemimpin kata benda palsu itu tulen, dia akan mudah percaya. Pemimpin pula bijak main emosi dengan berselindung dengan kalimah keramat 'wala'," katanya.
Hanipa turut mengingatkan bahawa sesuatu dasar termasuk dasar Islam bukan benda statik dan sebaliknya ia perlu diperjuangkan oleh semua orang termasuk pemimpin.
“Jika para pemimpin rosak, jangan dok ingat dasar tak terjejas. Islam yang cantik molek akan kelihatan hodoh jika para pemimpinnya rosak.
“Malahan, Islam yang dibawa oleh para pemimpin yang bermasalah dan rosak akan merosakkan imej Islam itu sendiri dan menimbulkan fitnah kepada Islam itu.
“Justeru, jangan dok seronok hanya kerana dasar kita Islam, maka parti kita kebal dan kuat spt kubu yang tidak boleh ditembusi. Itu namanya perasan akhi,” katanya.
Terdahulu, Harakahdaily melaporkan jumlah anggota PAS tahun ini sebanyak 41,813 yang merupakan jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun.

