Terjemahan PAS hari ini menawar diri untuk menjadi moderator bagi cadangan debat antara Umno dan DAP berhubung sejarah kemerdekaan negara.

Ketika membuat tawaran tersebut, Naib Presidennya, Husam Musa berkata, partinya mampu memastikan yang debat tersebut dapat diadakan dalam 'suasana matang'.

"Sama ada debat itu terbuka atau tertutup, PAS bersedia bertindak sebagai moderator. Saya menggesa Umno supaya menimbang menerima cabaran DAP itu.," katanya kepada malaysiakini.

"Saya tidak rasa ada apa-apa yang harus dibimbangkan oleh Umno, untuk berdepan dengan DAP dalam isu ini...terutama apabila mereka mengatakan dakwaan mereka terhadap DAP itu disokong oleh faktor sejarah," katanya.

Setiausaha biro antarabangsa DAP, Ronnie Liu telah mencabar Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia, selepas dia mendakwa yang Ronnie telah menghina bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman berhubung sumbangannya kepada kemerdekaan negara.

Ronnie dikatakan berbuat demikian dalam sebuah artikelnya dalam lamanweb DAP yang disiarkan sempena sambutan hari kemerdekaan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menuntut supaya DAP memohon maaf kerana didakwa telah 'memperkecilkan' sumbangan Tunku itu.

Manakala Ronnie telah mempertahankan artikelnya dengan mendakwa yang ianya telah dilihat daripada kontak yang salah.

Isu tersebut berterusan apabila Pemuda Umno menyiarkan dalam lamanwebnya gambar kulit muka depan buku biografi bertajuk Alias Chin Peng: My Side of History tulisan bekas pemimpn Parti Komunis Malaya (PKM) itu, dengan tampalan gambar beberapa pemimpin parti pembangkang.

Hanya satu peringatan

Mengulas mengenai isu berkaitan, Husam juga memperjelaskan bahawa kritikan awalnya terhadap hasrat MCA untuk membuka sekolah Cina, tidak bermaksud untuk mencampuri urusan dalaman parti itu, sepertimana yang didakwa oleh Presidennya, Datuk Ong Ka Ting semalam.

"Ia hanya satu peringatan, bukan untuk campurtangan. Bagi saya, tidak kisah sekolah apa yang mereka hendak bina. Tetapi kenyataan yang dibuat oleh MCA itu tidak bijaksana, kerana idea itu diperolehi selepas lawatan ke China. Seolah-olah ia ada agenda tersembunyi," katanya sebagai mengulas kenyataan Ong dalam akhbar TheSun semalam.

"Oleh itu, parti berkenaan bertanggungjawab untuk memperjelaskan kepada rakyat apakah bentuk sekolah yang hendak dibinanya. Adakah ianya benar-benar berasaskan kepada konsep latihan kader Parti Komunis China. Mereka mesti terbuka dalam hal ini," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan MCA memilih konsep latihan kader Parti Komunis China, memandangkan terdapat banyak lagi konsep latihan yang juga boleh digunakan untuk menyebarkan ideologinya dan untuk menyediakan latihan politik.

Menurut Husam, Umno hendaklah lebih sensitif terhadap kenyataan MCA mengenai perkara itu baru-baru ini, selepas pemimpinnya membuat lawatan rasmi ke China.

"Kerajaan sepatutnya lebih sensitif terhadap kenyataan MCA itu, dan bukannya apa yang dikatakan oleh Ronnie Liu. Ini kerana ideologi komunis telah banyak membawa masalah kepada negara. Hanya pada tahun 1989, perjanjian damai ditandatangani," katanya.