Tiada pelepasan air di Tasik Kenyir - Polis
Maklumat tular di media sosial yang menyatakan siren kecemasan telah dibunyikan di Tasik Kenyir bagi tujuan pelepasan air adalah tidak benar sama sekali.
Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud yang menafikan perkara itu semalam meminta orang ramai supaya tidak mudah cemas dengan berita tular tersebut dan dikehendaki merujuk sebarang isu berhubung bencana melalui agensi terlibat.
Beliau yang dihubungi Bernama berkata paras air di Tasik Kenyir ketika ini masih berada pada tahap minimum iaitu paras semasa 137.81 meter.
Mengikut rekod Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), bagi menentukan paras limpah, air akan berada pada tahap melebihi 145.00 meter, paras amaran melebihi 150.00 meter dan paras kecemasan melebihi 153.00 meter.
Semalam tular di laman sosial Facebook menerusi akaun ‘Pasir Puteh Today’ yang menyiarkan terdapat maklumat pintu pelepasan air akan dibuka sebab tiga kali siren telah dibunyikan dan meminta supaya orang ramai berjaga-jaga.
“Sebenarnya tiada isu banjir berpunca daripada pelepasan air Tasik Kenyir kerana tiada sebarang pintu yang boleh dibuka atau ditutup kecuali pelepasan air yang dibuat untuk menjana turbin penjana elektrik dan jumlah pelepasan ini berjalan sepanjang tahun. Jumlah air yang dilepaskan hanya minimum untuk keperluan jana elektrik.
Sekiranya tahap air tasik terlalu tinggi ianya akan melimpah secara semula jadi melalui salur limpah bersebelahan stesen empangan. Hal ini jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain itu menurut Mohd Adli, sistem siren kecemasan adalah sistem yang dipasang di kawasan Kampung Jenagor untuk amaran awal bencana melibatkan situasi teknikal ke atas empangan dan sistem tersebut hanya boleh dihidupkan dengan arahan pegawai daerah dan ketua polis daerah.
Bagi mengekang sikap tidak bertanggungjawap itu berulang, beliau memberi amaran supaya mereka yang terlibat menghentikannya jika tidak mahu pihak berwajib mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
”Perbuatan membuat , menyebar berita tidak benar yang boleh menimbulkan kekacauan dan pecah ketenteraman awam merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di mahkamah,” katanya.
Empangan Tasik Kenyir yang mula dibuka secara rasmi pada 1987 berfungsi sebagai pusat tadahan air tawar, sebagai penampan untuk kawalan banjir dan penjanaan elektrik.
- Bernama

