Terjemahan Kementerian Dalam Negeri telah memantau lebih satu juta penerbitan asing dari bulan Januari hingga Julai tahun ini untuk mengesan sama ada kandungannya melanggar aspek moral dan keselamatan negeri dan ketenteraman awam.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang semalam, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye berkata, ianya termasuk akhbar, majalah, buku komik dan novel.

Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kementerian berkenaan telah menahan 3,589 tajuk penerbitan, sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris, serta merampas 228,831,000 nashkah penerbitan.

Katanya, sebahagian besarnya dirampas di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

"Saya tidak tahu sama ada anda mempercayai angka ini atau tidak, tetapi lihat begitu banyak tugas (yang perlu kita lakukan)," katanya.

Pendekatan konservatif

Bagaimanapun, timbalan menteri berkenaan berkata, pihak terbabit masih boleh membuat rayuan serta semakan semula dan kemungkinan penerbitan berkenaan tidak akan diharamkan.

Menurut Chia, adalah lebih baik untuk mengambil pendekatan yang konservatif dalam menangani masalah penerbitan yang melanggar nilai-nilai moral.

Beliau juga berkata, pihak kementerian turut mendapat kerjasama dan sokongan pihak-pihak berkuasa dalam bidang-bidang berkenaan ketika melakukan pemantauan tersebut.

"Contohnya, jika ia membabitkan teks mengenai Islam, Al-Quran atau (bahan berkaitan dengan) agama Islam, kami mendapat nasihat daripada jabatan agama," tegasnya.