(title is missing)
Sime Darby beli kumpulan pengedar kereta Australia
Sime Darby Bhd menerusi anak syarikatnya, Sime Singapore Ltd, memeterai perjanjian jualan saham untuk untuk membeli keseluruhan modal terbitan dan berbayar PPT Investments Pty
Ltd.
Pembayaran pembelian itu adalah kira-kira A$37 juta (A$1 = RM2.91) dan akan dibiayai daripada dana dalaman, kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.
Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Ahmad Zubir Murshid berkata Sime Darby sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan motornya di Australia.
"Pembelian itu menawarkan peluang kepada kumpulan untuk menambah kepada perniagaan motor sedia adanya di negara ini dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peserta utama dalam pasaran Australia," katanya dalam satu kenyataan.
PPT merupakan kumpulan pengedar kereta Australia yang berpangkalan di Newcastle yang menyediakan kepada pasaran rantau Hunter Valley di New South Wales dan diniagakan di bawah nama Kloster Group.
Pemilikan itu dibuat menerusi pembelian keseluruhan modal terbitan dan berbayar Peter Dunn Investments Pty Ltd, Trevor Reading Investments Pty Ltd dan Peter Robinson Investments Pty Ltd.
Penyumbang terbesar
Menurut laporan Bernama, group itu merupakan pengedar terbesar di Hunter Valley dan mewakili pelbagai jenama dengan Ford menjadi penyumbang terbesar.
Jenama lain adalah Hyundai, BMW/Mini, Honda, Nissan, Chrysler Jeep, Daihatsu dan Suzuki.
Ia juga mempunyai cabang pengedaran bahagian-bahagian Ford merangkumi kawasan New South Wales.
Bagi tahun yang berakhir pada 31 Dis, 2004, PPT mencapai perolehan sebanyak A$256.4 juta dengan keuntungan sebelum faedah dan cukai berjumlah A$5.2 juta.
Kakitangan utama sedia ada dan pengarah Kloster Group akan terus terlibat dalam operasi perniagaan selepas selesai urusniaga pembelian untuk mengekalkan kesinambungan perniagaan.
Sime Darby Group, syarikat multinasional utama Malaysia dan merupakan konglomerat terbesar Asia Tenggara merupakan peserta utama dalam perladangan, pengedaran kenderaan motor dan kelengkapan berat, hartanah dan industri tenaga.
Kumpulan itu mempunyai kepentingan besar di seluruh rantau Asia Pasifik dalam sektor kenderaan motor terutama kenderaan penumpang dan perdagangan.

