Menteri Besar Kelatan Datuk Nik Aziz Nik Mat terkejut dengan reaksi Pemuda Umno dan segilintir masyarakat yang mempersoalkan tindakan beliau menjemput juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi untuk mengadakan konsert amal di Kota Bharu.

"Saya terkejut bila ada yang buat komen bahawa Kelantan menjemput Mawi kerana tekanan politik," katanya kepada pemberita selepas majlis beramah mesra dengan pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Asia Barat di Kota Bharu semalam.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, Mawi (foto) dijemput berikutan penyanyi itu mampu menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat, terutama kepada golongan remaja.

"Saya nampak Mawi mempunyai peribadi tersendiri. Dia sebut akhirat, hormatkan ibu bapa dan perkara-perkara ini membuatkan saya menjemputnya,"katanya.

Nik Aziz juga berkata Mawi yang mempunyai jutaan peminat, boleh mengubah remaja daripada terjebak dengan dadah dan pergaulan bebas.

Katanya, Mawi akan diminta melaungkan azan Maghrib di samping menjayakan Konsert Amal Tautan Kasih pada 30 September ini.

Akademi fantasia

Pada 21 Ogos lalu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan PAS semakin tertekan apabila sanggup menjemput Juara Akademi Fantasia 3 itu untuk mengadakan persembahan di Kelantan.

Menurut laporan Bernama, Hishammuddin berkata, tindakan PAS itu adalah bukti jelas bahawa parti pembangkang tersebut hipokrit dan tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perbuatan mencium tangan, Nik Aziz berkata ia bertentangan dengan Islam, jika dilakukan dengan melampau.

"Perbuatan mencium tangan dengan melampau-lampau ini akan membawa kepada perbuatan syirik lain, seperti mencium batu nisan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah bahawa perbuatan mencium tangan merupakan satu amalan yang bertentangan dengan hukum Islam dan merendahkan martabat seseorang.

Nik Aziz berkata, amalan mencium tangan secara melampau tidak banyak berlaku di Malaysia.

Beliau yang juga dicium tangan oleh para pengikutnya berkata: "Saya tak setuju mereka cium tangan saya. Tetapi diorang rebut sana, rebut sini (untuk mencium tangannya)".