Terjemahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini berkata Malaysia bebas daripada jerebu yang kembali semula semalam.

"Tiada ada jerebu hari ini," kata Ketua Pengarah jabatan tersebut, Datuk Rosnani Ibrahim kepada malaysiakini.

Menurutnya, paras indeks pencemaran udara (IPU) yang tidak sihat yang dicatatkan di Kuala Selangor semalam adalah sementara sahaja dan keadaannya pulih semula hari ini.

Paras IPU di Kuala Selangor semalam dicatatkan pada paras 108 yang merupakan paras tidak sihat.

Rosnani berkata, jerebu semalam berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia.

Paras IPU yang dicatatkan pada jam 11 pagi ini menunjukkan tiada kawasan berada dalam kategori tidak sihat hari ini. Daripada 51 kawasan, 15 daripadanya dalam kategori 'baik' manakala yang lainnya 'sederhana'. Paras IPU bagi Putrajaya tidak ada kerana masalah teknikal.

IPU tertinggi, iaitu 90, dicatat di Kuala Selangor, diikuti oleh Pelabuhan Klang (84) dan Nilai (81).

Pembakaran terbuka

Mengenai pembacaan ukuran paras IPU, Rosnani berkata, ada memadai ianya dilakukan dua kali sehari.

"Dua kali sehari sudah memadai kerana IPU adalah nilai purata bagi tempoh 24 jam," tambahnya.

Pada masa ini, jabatan itu mengumumkan bacaan IPU di lamanwebnya bagi bacaan jam 11 pagi dan 5 petang.

Menurut bilik operasi jabatan tersebut, pihaknya sedang memantau keadaan jerebu dan rondaaan turut dijalankan bagi mengesan sebarang pembakaran terbuka.

Selain Kuala Selangor, bacaan IPU di Gombak adalah di paras 104 (paras tidak sihat).

Bulan lalu, jerebu menutupi beberapa negeri, menyebabkan kualiti udaranya terjejas teruk sehingga darurat jerebu diisytiharkan di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor.