Para pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) dijamin menerima pulangan yang kompetitif walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar akibat kenaikan harga minyak mentah pada masa ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata berdasarkan pengalaman lalu PNB yang bertanggungjawab mengendalikan dua skim amanah popular itu memberi pulangan yang positif kepada pelabur.

"PNB telah lebih 25 tahun menguruskan dana amanah saham dan setakat ini pulangan diberi kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen lain yang sama risikonya," katanya kepada pemberita selepas penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta kepada kerajaan negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Hamad, bagaimanapun, mengakui pulangan dana amanah saham bergantung kepada keadaan pasaran semasa dan ia memberi kesan kepada sektor pelaburan amanah saham.

Kendali 10 dana

Beliau memberi jaminan, walaupun dalam keadaan yang mencabar, PNB mempunyai pakar-pakar pelaburan yang mampu mengenalpasti potensi pelaburan yang memberi pulangan baik kepada pelabur.

Menurut laporan Bernama, setakat ini PNB menguruskan 10 dana amanah saham termasuk ASB dan ASN.

Pada tahun lalu, Lembaga Pengarah ASNB telah bersetuju untuk mengagihkan pendapatan ASB pada kadar 7.25 sen seunit berbanding 7.25 sen seunit pada tahun 2003 manakala bagi ASN pengagihan pendapatan ialah pada kadar 5.60 sen seunit berbanding 5.30 sen seunit pada tahun 2003.

Cek zakat tersebut disampaikan Hamad kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang mewakili kerajaan negeri Sarawak.

Selain Sarawak, PNB, pada tahun ini juga, telah membuat pembayaran zakat kepada negeri Melaka berjumlah RM600,000, Pahang dan Pulau Pinang RM800,000.

Pada tahun 2004, antara negeri yang menerima bayaran zakat tersebut ialah Negeri Sembilan sebanyak RM300,000, Kedah RM600,000, Sarawak RM800,000 dan Perlis RM100,000.