Terjemahan Bekas profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof P Ramasamy menyertai DAP kerana beliau percaya parti tersebut mampu memperbaiki ekonomi dan kebebasan demokrasi di negara ini.

"Dengan menyertai DAP, Saya berharap dapat bersama-sama pemimpin, ahli dan para penyokongnnya untuk mewujudkan masa depan yang demokrati, kesaksamaan hak, dan visi masyarakat Malaysia yang progresif yang bebaskan daripada penindasan kaum, agama dan kelas," katanya dalam sidang akhbar mengenai kemasukannya dalam DAP hari ini.

Ramasamy berkata, ideologi negara Melayu seperti yang diamalkan oleh Umno dan disokong pula oleh parti-parti yang menurutnya bersifat oportunistik seperti MCA, Gerakan dan MIC, telah menyumbang kepada meningkatkan polarisasi kaum dan agama.

Menurutnya, ini menyebabkan kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu dinafikan ruang penyertaan yang demokratik.

Beliau berkata, parti-parti politik bukan Melayu telah gagal mewakili kepentingan legitimasi kaum masing-masing.

Ramasamy, yang berkhidmat lebih dua dekad di UKM, telah ditamatkan kontrak perkhidmatannya di universiti itu berkuatkuasa 27 Ogos lalu tanpa diberi sebarang alasan. Beliau bersara pada 10 Mei lalu dan perkhidmatannya diteruskan secara kontrak bulanan selama dua tahun sehingga 9 Mei 2007.

Wadah terbaik

Prof Ramasamy menyifatkan kemasukannya dalam DAP adalah salah satu 'pendekatan bersama' bagi beliau dan parti berkenaan untuk bersama menangani isu-isu sebelum ini.

"Saya tidak fikir yang ianya satu keputusan yang sukar. Bagi saya, saya memperjuangkan isu-isu yang konsisten dengan perjuangan DAP. Ia bukannya satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba," katanya ketika menjawab soalan wartawan.

"Terdapat banyak metodologi (dalam memperjuangkan isu-isu). Saya berjuang sebelum ini sebagai seorang individi. Hari ini saya menyertai parti politik yang mempunyai rekod yang baik dalam memperjuangkan demokrasi dan keadilan di negara ini. Kini ia adalah perjuangan sebagai satu pasukan.

"Saya bukanlah sekadar seorang ahli akademik semata-mata, saya juga seorang intelektual politik. Maka tidak sukarlah bagi saya untuk beralih aktif dalam politik," tambahnya.

Setiausaha Agung DAP, Guan Eng, yang hadir dalam sidang akhbara tersebut, berkata partinya mengalu-alukan keputusan Prof Ramasamy itu kerana keyakinannya terhadap perjuangan DAP dengan visi identiti nasional yang berasaskan kepada nilai-nilai bersama bagi demokrasi, keadilan, kesaksamaan peluang, kebebasan dan keamanan.

Jadi pemangkin

Lim menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya dikenali mengikut kaum, tetapi sebagai rakyat Malaysia bagi mewujudkan nilai-nilai bersama itu.

Katanya, latarbelakang akademik Prof Ramasamy dan kedudukannya di peringkat antarabangsa merupakan satu aset kepada parti tersebut.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang turut hadir di sidang akhbar tersebut, menyifatkan keputusan Prof Ramasamy menyertai DAP itu sebagai satu pemangkin bagi menarik lebih ramai golongan cendiakawan untuk bersama-sama membentuk masa depan politik negara.

Manakala Timbalan Setiausaha Agung DAP, M Kulasegaran memberitahu malaysiakini bahawa beliau amat menghormati Prof Ramasamy dalam isu-isu yang diperjuangankannya.