Aktivis pelajar Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin dibebaskan "lebih awal" sebelum tamat tempoh 60 hari siasatan, kata keluarganya.

Khairul Anuar, juga dikenali Jonah, hingga kini ditahan selama 19 hari. Bekas pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) itu dibenarkan menerima lawatan keluarga bagi kali kedua di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam.

"Khairul memberitahu kami agar tidak risau tentang dirinya dan kemungkinan dia dibebaskan tidak lama lagi," kata seorang kakaknya, yang enggan namanya disiarkan, kepada malaysiakini hari ini.

"Khairul kelihatan lebih sihat (daripada lawatan pertama)," tambahnya. Polis membenarkan lawatan pertama pada 14 Julai.

Lawatan semalam berlangsung kira-kira sejam bermula 2.30 petang dan dihadiri ibu, bapa dan tiga lagi anggota keluarganya.

Pelajar semester tiga jurusan kejuruteraan itu ditahan ketika sedang mengiringi enam aktivis pelajar ke balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 5 Julai.

Tiga hari selepas itu, pelajar itu disingkir serta merta daripada IKM dengan alasan mencemarkan imej institusi pengajian itu serta Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan gagal menjawab surat tunjuk sebab seperti yang diminta lembaga tatatertib kolej itu.

Keluarga Khairul Anuar bagaimanapun telah mengemukakan surat rayuan kepada IKM.

Malaysiakini melaporkan Khairul Anuar bercadang menjawab surat itu pada 6 Julai tetapi gagal berbuat demikian kerana telah ditahan mengikut ISA.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, yang juga ditahan ISA, akan kembali mengikuti pengajiannya minggu depan.

"Insya Allah Fuad akan kembali ke universiti minggu depan apabila universiti kembali dibuka selepas cuti (pertengahan semester) ini," kata Timbalan Presiden MPMUM, Aznur Hafeez Kaswuri kepada malaysiakini hari ini.

Mohamad Fuad ditahan mengikut akta itu pada 6 Julai, sehari selepas Khairul Anuar. Beliau dibebaskan tanpa syarat pada 16 Julai lalu.