Suhakam dibenarkan pantau pilihanraya kampus
Majoriti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bersetuju untuk membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memantau perjalanan pilihanraya kampus tahun ini, berikutan banyak aduan berlakunya taktik menakutkan pelajar dan politik wang dalam pemilihan sebelum ini.
Majoriti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bersetuju untuk membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memantau perjalanan pilihanraya kampus tahun ini, berikutan banyak aduan berlakunya taktik menakutkan pelajar dan politik wang dalam pemilihan sebelum ini. 
Pesuruhjaya Suhakam, Prof Hamdan Adnan memberitahu malaysiakini, mesyuarat di antara suruhanjaya itu dan jabatan hal-ehwal pelajar IPTA diadakan dua minggu lalu di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.
Daripada 17 universiti yang dijemput, 10 daripadanya menghantar wakil, termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Suhakam, katanya, telah meminta pihak universiti terbabit supaya mengadakan pilihanraya kampus secara adil dan bebas. Ia akan diadakan sama ada hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Hamdan berkata, wakil-wakil universiti yang hadir di mesyuarat tersebut berkata mereka akan 'mencuba sebaik mungkin".
"Kami juga bertanya sama Suhakam boleh memantau pilihanraya kampus tersebut, dan mereka tidak membantah. Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kampus," katanya ketika dihubungi semalam.
"Halangan yang kita hadapi sebelum ini adalah (kerana) Naib Canselor (mempunyai) tanggapan yang kami hanya mendengar aduan pelajar dan (kami hanya) mahu menyusahkan mereka.
"Tetapi kita telah memaklumkan bahawa kita juga mahu mendengar daripada mereka dan untuk menyiasat (dakwaan itu) secara terperinci," katanya.
Permintaan pelajar
Ditanya sama ada Suhakam bersedia untuk menjalankan tugas pemantauan tersebut, Hamdan berkata: "Kita akan menelitinya. Kita akan bekerjasama dengan pihak universiti. Pihak pelajar belum lagi mengemukakan permintaan rasmi (untuk melakukan pemantauan) kepada Suhakam."
Tahun lalu, Suhakam memohon kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa universiti untuk memantau pilihanraya kampus selepas menerima memorandum daripada badan-badan pelajar.
Berikutan itu, Setiausaha Parlimen kementerian berkenaan, Dr Adham Baba dilaporkan mempersoalkan kemampuan Suhakam untuk memantau perjalanan pilihanraya kampus.
Dr Adham juga dilaporkan berkata, tidak ada peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti untuk membenarkan badan luar, memantau pilihanraya kampus.
Pada masa ini, tidak ada sebuah badan bebas yang menyelia perjalanan pilihanraya kampus kerana ianya dikendalikan oleh suruhanjaya pilihanraya di setiap universiti, yang diketuai oleh timbalan naib canselor hal-ehwal pelajar masing-masing.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah mengeluarkan kenyataan minggu lalu, menggesa Suhakam, Hakam dan Suaram untuk memantau perjalanan pilihanraya kampus.
Sokong Suhakam
Hakam dan Suaram, ketika dihubungi, menyatakan sokongan mereka kepada Suhakam sebagai badan pemantau rasmi bagi perjalanan pilihanraya kampus.
Timbalan Presiden Hakam, Malik Imtiaz Sarwar berkata, suruhanjaya itu merupakan badan terbaik kerana ia sebuah badan berkanuan, untuk mengawasi sebarang pelanggaran hak asasi manusia dan memperakukan langkah-langkah mengatasinya.
Malik berkata Hakam mahu melihatkan piliharanraya kampus dijalankan secara bebas dan tidak berat sebelah, dan bersedia membantu semua pihak, termasuk Suhakam untuk memantau perjalanannya.
Beliau juga mempertikaikan kenyataan kementerian berkenaan bahawa Suhakam tidak diberi kuasa untuk mematau pilihanraya tersebut, sambil berkata "demi ketelusan dan akauntabiliti, tidak sepatutnya ada bantahan bagi Suhakam memantau perjalanannya".
Manakala penyelaras Suaram, Chang Lih Kang berkata, beliau akan menulis kepada universiti tempatan untuk mendapatkan kebenaran perjalanan pilihanraya kampus kali ini.
Katanya, pihak berkuasa universiti tempatan tidak sepatutnya menolak permohonan sekiranya mereka tiada apa-apa yang hendak disembunyikan.
Chang juga membantah pelaksanaan sistem pengundian elektronik di beberapa buah universiti yang menurutnya bercanggah dengan prinsip keadilan semulajadi, serta tidak wujud kaedah untuk mengawal dan menyemak sistem tersebut.

