DAP mahu Hishammuddin yang minta maaf
Terjemahan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein patut memohon maaf kerana menghunuskan keris dan bukannya meminta DAP dan setiausaha biro antarabangsanya, Ronnie Liu berbuat demikian berhubung sebuah artikel mengenai Merdeka.
Terjemahan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein patut memohon maaf kerana menghunuskan keris dan bukannya meminta DAP dan setiausaha biro antarabangsanya, Ronnie Liu berbuat demikian berhubung sebuah artikel mengenai Merdeka.
Meneruskan lagi 'perang mulut' antara kedua belah pihak, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi nasihat ini kepada Hishammuddin. 
"Sebagai Menteri Pelajaran, beliau tidak sepatutnya menunjukkan contoh tidak baik dan bersikap tidak sensitif atau sudah lupa mengenai perhimpunan Pemuda Umno di Kuala Lumpur pada tahun 1987... dengan sepanduk bersama slogan seperti 'Mei 13 sudah bermula' dan "Mandikannya (keris) dengan darah orang Cina'," katanya.
Gaya Hishammuddin menghunuskan sebilah keris sewaktu perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno baru-baru ini tidak menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat Cina di malaysia.
Mengulas dakwaan bahawa artikel tulisan Ronnie itu telah 'memperkecilkan peranan Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan mencapai kemerdekaan negara, Lim mendakwa, Pemuda Umnolah yang bersalah kerana memperkecil-kecilkan Bapa Kemerdekaan Malaya itu. 
"Pada tahun 2003, kerajaan sudah hampir lupa kepada hari jadi Tunku yang keseratus tahun...jika tidak diingatkan oleh saya," katanya.
Artikel Ronnie itu menyebut bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, Chin Peng turut menyumbangkan kepada kemerdekaan negara.
Sebaliknya, Ronnie mendakwa, pemimpin-pemimpin Umno pascamerdeka yang merupakan para pegawai kanan British adalah rakan rapat penjajah.
Ronnie juga telah mencabar Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat berhubung artikel tersebut, tetapi telah ditolak.
Taktik Nazi
Dalam satu lagi kenyataan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pemuda Umno gagal menunjukkan bukti bahawa parti pembangkang itu tidak menghormati status Tunku sebagai bapa kemerdekaan negara.
Sebaliknya, kata beliau, Pergerakan Umno telah menggunakan taktik sepertimana yang pernah dilakukan oleh ahli propaganda Nazi, Joseph Goebbels.
"Jika anda kerap menceritakan mengenai sesuatu pembohongan, akhirnya oarang akan percaya juga...kebenaran adalah musuh utama negara," kata Guen Eng memetik kata-kata Goebbels.
"Pemuda Umno perlu membuktikan bahawa kebenaran itu bukanlah musuh utama mereka...dengan memberhentikan pembohongan seumpama itu terhadap DAP. Adakah Pemuda Umno sudah muflis politik sehingga tidak ada isu lain lagi untuk diperjuangkan?," katanya.
Guan Eng juga menegaskan, sejak 39 tahun yang lalu, DAP sentiasa mengiktirafkan Tunku sebagai bapa kemerdekaan negara.
Malah, katanya, komitmen DAP untuk berfungsi mengikut perlembagaan sering dikritik oleh PKM.
Tolak cabaran berdebat
Sementara itu, ketika menolak cabaran tersebut, Hishammuddin berkata ia tidak perlu kerana artikel berkenaan yang turut menyebut Chin Peng, menyumbang kepada kemerdekaan negara, jelas tidak benar sama sekali.
"Malah kita tidak perlu pun melayan saranan itu. Keluarkan sahaja artikel itu dari laman web berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Kualiti Kementerian Pelajaran 2005 di Pusat Membeli-Belah Mid Valley di Kuala Lumpur.
"Bagi artikel itu, bapa saya (Allahyarham Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga) dilihat sebagai komandan sebuah depot polis di bawah pemerintahan British dan oleh kerana itu dia tidak mungkin menyumbang kepada kemerdekaan Malaysia.
"Apa logiknya sehingga memerlukan satu debat. Saya tidak akan tunduk serendah itu dan akan mencadangkan kepada Khairy (Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno), supaya tidak turut berbuat demikian," kata Hishammuddin lagi.

