Selama ini Amerika Syarikat begitu gah dan gagah. Presidennya, George W Bush pula begitu bongkak. Nama-nama seperti Hugo Chavez, Fidel Castro, Saddam Hussein dan Osama bin Laden gagal menjinakannya.

Namun kini, Bush tersembam di kaki Katrina. Dengan nama yang begitu indah dan romatik, Katrina membuat Amerika terpinga-pinga, bingung dan kelihatan amat bodoh dan lemah.

Amerika yang selama ini cuba menjadi penyelamat dunia, kali ini sujud, menagih bantuan dari pelbagai negara untuk menyelamatkan rakyatnya dan memulihkan negeri Florida yang ranap dilanyak Katrina.

Sebelum Katrina, pelbagai taufan dan ribut tropika memberi amaran kepada Amerika. Namun Dennis, Ivan, Maria dan pelbagai angin ganas lain gagal mengajar Bush. Hanya Katrina yang mempunyai kekuatan lebih 230 kilometer sejam, dapat mengingatkan Bush bahawa ancaman terhadap Amerika Syarikat bukan sahaja datang dari kumpulan Al-Qaeda.

Sejak seminggu lalu, tiada lagi gah dan keangkuhan Presiden Bush. Keegoaan Bush hanyut di New Orleans, Republican pula lemas populartitinya. Selama ini bencana alam, kemiskinan dan kebuluran hanya kita saksikan di negara-negara dunia ketiga atau negara miskin.

Kita saksikan bagaimana Tsunami meranapkan Acheh. Banjir besar menenggelam India dan Bangladesh dan kebuluran berakar umbi di Afrika. Namun kali ini, bencana alam yang meragut ribuan nyawa berlaku di negara paling berkuasa dan paling maju di dunia. Pentadbiran Bush terduduk, tersembam maruahnya sebagaimana tragedi 11 September 2001.

Bush dikritik hebat

Orang-orang kanan Bush menganggap Katrina bagaikan bom atom kerana kemusnahan akibat taufan dan banjir ini lebih teruk dari yang dijangkakan. Sehingga rencana ini ditulis, pihak berkuasa Amerika masih tidak mengumumkan jumlah mangsa yang mati dan hilang.

Mungkin angkanya terlalu besar. Ada yang menjangkakan lebih 10,000 orang maut dan hilang. Jumlah pelarian taufan ini pula telah mencecah 250,000 orang. Masyarakt dunia kini tertanya-tanya mengapa mangsa bencana Tsunami yang melanda Acheh Sri Lanka dan Phuket begitu mudah diumumkan jumlah korbannya sedangkan kemusnahan dan korban Katrina yang jauh lebih kecil tidak mampu dihitung oleh Amerika?

Cara Bush menangani krisis ini telah dikritik hebat. Dia dituduh mengamalkan diskriminasi kaum. Presiden Amerika itu didakwa tidak mempedulikan rakyat kulit hitam. Musuh politik Bush juga mendakwa New Orleans ditenggelami banjir kerana kesilapan dasar luar Bush.

Menurut mereka Bush membazir wang dalam peperangannya di Iraq, sedangkan dana tersebut sepatutnya digunakan untuk membaiki tambak yang runtuh di New Orleans. Malah, ada pemimpin kulit hitam Amerika dan pemimpin negara lain menuduh Bush sukakan bencana Katrina ini kerana dapat mengambil kesempatan menaikkan harga minyak dan menjual rezab minyak negaranya yang berlebihan.

Nampaknya Katrina adalah musibah bagi Bush dan Republikan tetapi menjadi rahmat bagi Demokrats. Bush mengakui bencana ini terlalu besar dan tidak mampu ditangani sendiri oleh Amerika. Bush telah meminta Kesatuan Eropah dan NATO membantunya memulihkan Louisiana, Mississipi dan Alabama.

Lebih 20 negara telah benjanji untuk menghulurkan bantuan kewangan, perubatan, kemanusiaan, pembangunan semula dan tentera. Paling menarik, antara negara yang menghulurkan bantuan ialah negara kecil dan miskin yang selama ini diperlekehkan oleh pentadbiran Bush antaranya El Salvador, Greece, Sri Lanka dan Honduras.

Tidak ketinggalan, Venezuela dan Cuba yang menjadi musuh Bush, turut menawarkan bantuan pakar perubatan dan wang. Presiden Hugo Chavez telah mengumumkan, syarikat negaranya akan menghulur bantuan lebih AS$2 juta. Fidel Castro pula mahu menghantar lebih seribu doktor ke New Orleans.

Namun kerajaan Bush enggan menerima tawaran Castro itu walaupun ia dibuat atas dasar kemanusiaan. Presiden Amerika itu masih mahu menyimpan cebisan egonya daripada mengutamakan nasib mangsa Katrina.

'Tentera Tuhan'

Musuh Bush di luar Amerika turut menempelaknya. Pertubuhan-pertubuhan pejuang Islam menyifatkan Katrina sebagai tentera Tuhan yang dihantar untuk menyerang Amerika Syarikat.

Dalam lamanweb mereka, kumpulan-kumpulan pejuang itu mengingatkan Amerika bahawa kuasa dan kecanggihan teknologinya tidak mampu menahan kuasa Tuhan.

"Allah menghantar Katrina untuk bersama Al-Qaeda bagi memerangi Amerika," kata salah sebuah lamanweb berkenaan.

Kini kelembapan kerajaan Bush menangani konflik ini bukan sahaja menjejaskan rakyat negaranya, malah turut dirasai di seluruh dunia. Musnahnya pelantar minyak di Teluk Mexico bukan sahaja menjejaskan ekonomi Amerika, malah membantut ekonomi negara-negara lain.

Kita di Malaysia tidak ketinggalan merasai kesannya. Kebimbangan terhadap kenaikan harga petrol dan diesel tidak dapat diketepikan. Harga minyak mentah yang telah melebihi AS$70 setong, memungkin kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga bahan api sekali lagi.

Penganalisis kewangan menjangka harga minyak mentah dunia mungkin mencecah hingga ke paras AS$90 setong menjelang hujung tahun ini akibat manipulasi pasaran. Jika ini berlaku, kerajaan tidak mampu lagi memberi subsidi petrol dan diesel yang banyak.

Tidak dapat dielakkan lagi, harga bahan petroleum terpaksa terus dinaikkan walaupun Malaysia merupakan negara pengeksport minyak mentah. Begitulah, Bush tersembam di kaki Katrina dan kita tidak dapat mengelak daripada terkena tempiasnya!