Terjemahan Ketua pembangkang Lim Kit Siang berkata beliau telah cuba untuk mendapatkan campurtangan Persada Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung penamatan kontrak perkhidmatan Prof P Ramasamy dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Saya bertemu dengan perdana menteri pada 19 Ogos dan memaklumkan kes Prof Ramasamy kepadanya," katanya dalam satu majlis forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur malam tadi.

"Beliau belum lagi campurtangan. Saya rasa mungkin beliau masih sibuk. Adalah tidak mungkin bagi perdana menteri campurtangan dalam semua perkara," jelas Lim.

Beliau menegaskan demikian kepada hampir 50 peserta yang menghadiri forum sebagai tanda sokongan kepada Prof Ramasamy yang dianjurkan oleh DAP, bertajuk "Pendidikan Tinggi: Krisis yang semakin meruncing".

Prof Ramasamy, seorang pensyarah sains politik yang sudah 25 tahun berkhidmat di UKM, tidak beri sebarang alasan mengapa kontrak perkhidmatannya itu ditamatkan, berkuatkuasa 27 Ogos lalu.

Ramasamy bersara pada 10 Mei lalu dan perkhidmatannya diteruskan secara kontrak bulanan sehingga 9 Mei 2007.

"Saya amat kecewa dengan (Menteri Pengajian Tinggi, Datuk) Dr Shafie (Mohd Salleh). Apabila beliau dilantik menjadi menteri pengajian tinggi, harapan padanya begitu tinggi agar beliau menjadi seorang menteri yang baik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas setengah tahun sudah berlalu, Shafie tidak menunjuk prestasi yang diharapkan.

Letak jawatan

Menurutnya, beliau ingin bertemu dengan Shafie berhubung kes Ramasamy serta kes Prof Dr Edmund Terence Gomez yang sebelum ini tidak dibenarkan oleh pihak Universiti Malaya untuk mengambil cuti dua tahun, sehinggalah campurtangan perdana menteri.

"Tetapi beliau(Shafie) tidak dapat ditemui. Dia juga tidak boleh dihubungi. Saya juga tidak dapat meninggal pesanan untuknya. Dalam dunia IT, itupun tidak dapat dilakukan," katanya.

Dalam ucapan di forum tersebut, Prof Ramasamy menuduh Shafie melindungi salahlaku di universiti.

"Saya mengambil peluang ini untuk memberitahu beliau supaya meletak jawatan kerana beliau tidak melakukan tugasnya sepertimana yang diamanahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Ramasamy turut berkata, di segi prestasi akademiknya, pihak pentadbiran UKM gagal mencari sebarang kesalahannya.

Menurutnya, pihak pengurusan "tidak dapat mencari alasan untuk memberhentikan saya, jadi mereka menunggu sehingga persaraan saya," katanya.

Beliau juga meminta Vice Canselor UKM, Datuk Prof Dr Mohd Salleh Mohd Yasin supaya menjelaskan sebab-sebab kontrak perkhidmatannya ditamatkan secara mengejut.

Ramasamy menegaskan perlunya ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja untuk membolehkan Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji isu-isu berhubung pendidikan tinggi, kualiti akademik dan perlantikan kakitangan, kualiti penyelidikan dan sebagainya," katanya.

Antara penceramah di forum tersebut ialah Setiausaha Agung DAP, Guan Eng, peguam P Uthayakumar manakala Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw bertindak sebagai moderator forum tersebut.