GLOBAL Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan tiga lagi berjaya diselamatkan, selepas sebahagian daripada sebuah bangunan milik syarikat pengangkutan runtuh, di Tamil Nadu, selatan India pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua.

Sebahagian struktur bangunan Perbadanan Pengangkutan Negeri Tamil Nadu (TNSTC) yang dibina pada tahun 1952 itu, runtuh kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan, di Nagapattinam, 312 kilometer di selatan Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.

Kesemua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai pekerja syarikat berkenaan.

"Mangsa yang ditemui selamat di bawah runtuhan dikejarkan ke hospital Karaikal. Kejadian berlaku ketika semua mangsa sedang tidur," kata seorang pegawai polis.

Bulan lalu, sembilan orang terbunuh selepas bumbung konkrit sebuah terminal bas, di Somanur, Coimbatore, runtuh.

Kejadian bangunan runtuh di India sering berlaku, dipercayai akibat rasuah yang berleluasa selain melanggar peraturan pembinaan dengan menggunakan bahan binaan berkualiti rendah.

- Bernama