Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan isu Permit Import (AP) yang hangat dibincangkan kebelakangan ini adalah berhubung dengan Proton dan tidak ada kaitan antara beliau dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz.

"Saya tidak tahu. Saya selalu katakan ini bukan perkara antara saya dan menteri itu, ia mengenai Proton dan AP," katanya ketika menjawab soalan berkenaan pertemuannya dengan Rafidah di majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-48 di Putrajaya kelmarin.

Dr Mahathir ditemui pemberita sebelum merasmikan pameran mengenai pemikiran Dr Mahathir yang diterjemahkan ke dalam lukisan di Galeri Tangsi di Kuala Lumpur. Turut hadir ialah isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Ketika ditanya mengapa Rafidah menangis ketika memeluknya dalam pertemuan itu, beliau berkata :"Saya tidak tahu, macam mana saya nak tahu.Anda (wartawan) sepatutnya yang tanya dia (Rafidah)".

Isu AP

Pertemuan yang singkat tetapi dramatik itu merupakan pertemuan pertama antara Rafidah dengan Dr Mahathir, yang juga penasihat Proton, selepas isu kontroversi mengenai AP dibangkitkan Dr Mahathir Mei lalu, dan menyaksikan mereka sering mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi itu

Ditanya mengenai perkataan yang yang disebutnya kepada Rafidah iaitu "O.Klah, O.Klah, O.Klah", Dr Mahathir: "Apabila melihat orang menangis kita mestilah kata ok...ok".

" Apabila beliau memeluk saya semua orang tengok, saya tidak banyak cakap kepada beliau," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata isu berhubung AP perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan kerugian kepada kerajaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa Rafidah tidak ada memohon maaf kepadanya pada pertemuan kelmarin.

Di Shah Alam, Rafidah juga turut berkata yang beliau tidak meminta maaf kepada Dr Mahathir ketika menemui bekas Perdana Menteri itu di majlis sambutan hari Kemerdekaan di Putrajaya kelmarin.

"Tidak timbul isu minta maaf," kata Rafidah sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar hari ini.

Pada Mei lalu, Dr Mahathir telah mempersoalkan urusan pengeluaran AP yang dianggapnya memberi kesan buruk terhadap kereta nasional, Proton, dan meminta agar senarai pemegang AP didedahkan kepada umum.

Rafidah memberi respons terhadap permintaan bekas Perdana Menteri itu dengan berkata tindakan menyiarkan nama pemegang AP tidak pernah menjadi amalan kerajaan. Bagaimanapun, beliau menyebut nama anak lelaki Dr Mahathir sebagai antara penerima permit itu