Kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang untuk mengenakan hukuman lebih berat penjara mandatori setahun atau penjara maksima 20 tahun bagi pesalah kegiatan pembalakan haram, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Peguam Negara akan membuat persiapan dan persediaan dalam tempoh enam bulan dari sekarang supaya proses pendakwaan dan penghukuman bagi kes-kes seumpama itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, hukuman penjara yang baru itu akan dilaksanakan secara "fast track" di bawah satu peruntukan undang-undang khas yang akan dibentuk di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Tindakan lebih tegas terpaksa diambil memandangkan hukuman dalam bentuk kompaun terhadap pembalak haram sebelum ini dilihat gagal membendung masalah itu, katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata, keputusan melaksanakan hukuman penjara mandatori itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Perhutanan Negara (MPN) kali ke-19 yang beliau pengerusikan di Putrajaya hari ini.

MPN adalah forum konsultatif dianggotai pegawai tinggi Jabatan Perhutanan, pihak berkuasa tempatan dan pegawai tinggi kerajaan negeri dan agensi-agensi perhutanan yang bertanggungjawab memastikan pengurusan kawasan hutan dengan baik dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti pembalakan.

Cemar kawasan tadahan

Menurut laporan Bernama, Najib berkat, kerajaan tidak lagi boleh berlembut dengan pesalah pembalakan haram kerana kesan daripada aktiviti itu adalah besar dan berpanjangan kepada alam sekitar.

"Ia (pembalakan haram) menjejaskan kualiti air dan udara. Boleh membawa kepada masalah seperti banjir, kemarau dan menjejaskan (kawasan) tadahan-tadahan air," katanya.

Menurut Najib lagi, kerajaan mendapati aktiviti pembalakan haram dilakukan oleh pihak yang sama terdiri daripada sindiket-sindiket yang tidak banyak jumlahnya.

Keputusan mewujudkan hukuman penjara mandatori katanya adalah disebabkan rancaknya kegiatan pembalakan haram sehingga menyebabkan ia agak sukar dikesan oleh pihak berkuasa.