Terjemahan Model wanita yang menggayakan aksi berkemban dengan Jalur Gemilang yang disiarkan dalam majalah "Sensasi Lelaki" keluaran bulan Ogos, telah memohon maaf kerana menyinggung perasaan seluruh rakyat Malaysia.

"Aida mohon maaf kepada Perdana Menteri dan seluruh rakyat Malaysia," kata model tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Aida, dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.

Menurut akhbar tersebut, Aida yang baru setahun berkhidmat sebagai pramugari dengan sebuah syarikat penerbangan, berkata dia benar-benar kesal dengan perbuatannya itu dan kini dalam keadaan tertekan serta berasa hina sejak aksinya disiarkan dalam media massa.

"Saya tidak pernah menyangka aksi berkemban dengan Jalur Gemilang akan menyinggung perasaan seluruh rakyat Malaysia. Aida betul-betul naif dan Aida mohon dimaafkan," katanya sambil menangis.

Aida, 23, juga menafikan yang dia berbogel dan berkata dalam aksi dibaluti Jalur Gemilang itu, dia sebenarnya memakai tube berwarna hitam dengan seluar pendek.

Katanya, dia dan keluarganya mengalami tekanan berikutan kontroversi tersebut selepas gambar aksinya itu disiarkan dalam majalah tersebut.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar telah mengecam penerbit majalah "Sensasi Lelaki" kerana menyiarkan gambar tersebut sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Noh berkata, foto tersebut menghina bendera Malaysia, yang menjadi simbol dan kebanggaan negara, dan menegaskan bahawa kementeriannya akan menyiasat perkara tersebut.

'Gambar lucah'

Aksi Aida berkemban dengan bendera Malaysia itu dalam majalah tersebut, disiarkan di muka depan dan muka tengah majalah tersebut yang dijual dengan harga RM5.

Kongres India Muslim Malaysia telah membuat laporan polis terhadp penyiaran gambar tersebut dan menggesa pihak berkuasa supaya membatalkan lesen penerbitan majalah terbabit.

Pemangku Presiden Kimma, Amir Amsaa Alla Pitchay dilaporkan berkata, gambar tersebut tidak mencerminkan semangat patriotik tetapi sebaliknya merupakan gambar lucah,

- AFP