Lelaki maut digilis di lebuh raya Utara-Selatan
Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba memperlahankan kenderaan lain selepas kereta Myvi yang dipandunya kemalangan, meragut nyawanya apabila dia dilanggar sebelum digilis beberapa kenderaan lain yang melalui kawasan itu dalam kejadian 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Ibrahim Sharif berkata berdasarkan siasatan awal, kereta Muhammad Syahmie Mohd Azman, 21, dari Shah Alam, Selangor terbabas di lorong paling kanan dan melanggar pembahagi jalan di Km 242.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran hentian Rehat dan Rawat Senawang.
“Akibat kemalangan, mangsa dipercayai keluar dari kenderaannya untuk memperlahankan kenderaan lain namun dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Innova menyebabkan mangsa tercampak ke lorong tengah lebuh raya.
“Mangsa kemudiannya dipercayai digilis oleh beberapa lagi kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya dan tiada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata Muhammad Syahmie yang mengalami kecederaan parah di kepala selain patah tangan dan kaki kanan, maut di tempat kejadian.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat seorang pemandu membuat laporan polis di Shah Alam memaklumkan dia telah terlanggar mangsa ketika melalui kawasan berkenaan.
Wanita maut dalam nahas
Sementara itu, seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Km 264.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Seremban pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun tersebut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan kerana tersepit.
“Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Accord yang berada di lorong kanan hilang kawalan lalu melanggar bahagian kanan sebuah lori di lorong kiri, menyebabkan kereta itu berpusing dan melanggar besi penghadang di tengah lebuh raya sebelum terhenti di lorong paling kanan lebuh raya tersebut.
“Susulan kejadian, sebuah Toyota Avanza berhenti di depan Honda Accord untuk membantu mangsa, namun datang sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua orang telah melanggar Honda Accord itu sebelum melanggar Toyota Avanza,” katanya kepada Bernama.
Akibat pelanggaran, penumpang wanita Proton Waja itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lelaki berusia 27 tahun yang memandu kereta berkenaan mengalami cedera parah dan digegaskan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dirawat, katanya.
“Pemandu Honda Accord iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun dan pemandu Toyota Avanza yang juga seorang lelaki berusia 24 tahun mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital sama,” katanya.
Pemandu lori itu pula yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sulizmie Affendy bagaimanapun enggan mendedahkan nama kesemua mangsa yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Bernama

