Dewan Bandaraya Kuala Lumppur (DBKL) telah merobohkan rumah-rumah di Kampung Sungai Udang di Segambut untuk membalas dendam, dakwa Pengerusi Jawatankuasa Bertindak kampung tersebut.

Mohamad Yaacob berkata rumah-rumah tersebut dirobohkan kerana beliau membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap penyelewengan penjualan rumah kos rendah di Taman Cuepacs di Segambut.

Menurutnya, selepas beliau membuat laporan kepada BPR Wilayah Persekutuan pada bulan Jun lalu,`pintu' rundingan mengenai pemindahan setinggan kampung tersebut seolah-olah tertutup rapat.

Katanya, perkara ini dapat dilihat kerana DBKL menjalankan operasi merobohkan rumah setinggan terbabit ketika rundingan dengan Jabatan Perdana Menteri masih berjalan.

"Saya percaya operasi merobohkan ini ada kaitan dengan tindakan saya membuat laporan kepada BPR terhadap Datuk Bandar, Datuk Ruslin Hassan terhadap penjualan rumah kos rendah di Taman Cuepacs kepada orang luar dan bukannya kepada setinggan Kampung Sungai Udang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, beliau membuat laporan kepada BPR kerana mempercayai berlaku penyelewengan membabitkan DBKL dalam pembahagian rumah kos rendah Taman Cuepacs kerana sebahagian besar pembeli adalah orang luar.

"Bagaimana saya tidak kata berlaku penyelewengan kerana DBKL menyerahkan urusan penjualan rumah kepada pemaju iaitu Megah Kepong Sdn Bhd sedangkan sepatutnya ia tanggungjawab DBKL," katanya lagi.

Mohamad berkata, rayuan penduduk untuk berbincang dengan DBKL bagi menangguhkan pemindahan juga tidak dilayan.

'Ala Gestapo'

Menurutnya, operasi DBKL merobohkan rumah setinggan terbabit juga dibuat secara terburu-buru dengan menggunakan jentolak dan kira-kira 400 anggota penguatkuasa serta anggota polis.

"Mereka bertindak ala Gestapo, bertindak kejam tanpa peri kemanusiaan. Banyak peralatan sekolah termasuk buku hilang entah ke mana," katanya.

Beliau berkata, kesemua 18 rumah di kampung itu dirobohkan oleh DBKL. Sebahagian besar penduduk berpindah ke Pusat Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang dan selebihnya ditempatkan di Dewan Rekreasi Taman Kok Doh di ibu negara.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad untuk membeli rumah di Taman Cuepacs tetapi gagal.

Mereka juga menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mereka mendapat peluang membeli rumah terbabit.

Pada bulan April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penduduk untuk membenarkan mereka terus tinggal di perkampungan tersebut.

Katanya, baru-baru ini DBKL ada menawarkan untuk menyewa rumah kos rendah di Jinjang tetapi penduduk menolak kerana mahu membeli rumah sendiri.

Mohamad berkata, beliau sedih dengan tindakan tersebut memandangkan ramai pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan Oktober ini.

DBKL tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.