Pejabat Umno Bahagian Kuala Nerus di Kampung Batu Enam dekat Kuala Terengganu dibaling dengan batu malam tadi menyebabkan sebahagian besar cermin tingkapnya pecah.

Setiausaha Umno Bahagian Kuala Nerus, Ruslan Abdul Rahman berkata kerugian dianggarkan RM10,000.

Katanya, setelah mengetahui mengenai kejadian itu pada 4 pagi melalui SMS dari Timbalan Ketua Umno Bahagian itu, Azmi Abdul Rahman, beliau terus pergi ke tempat itu dan mendapati polis sedang mengawal bangunan berkenaan.

"Saya dapati bukan sahaja Pejabat Umno Bahagian ini yang diserang, tetapi pondok polis berhampiran bangunan itu turut dirosakkan," katanya kepada pemberita.

Selain menempatkan pejabat Umno Bahagian Kuala Nerus, terdapat dua buah bank dan sebuah klinik di bangunan dua tingkat itu.

Tinjaun Bernama di tempat kejadian mendapati kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu sedang melakukan kerja membersih serpihan kaca di situ.

Jurucakap polis berkata mereka menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11 pagi.