Sarawak Concrete Industries Bhd (SCIB) telah mengambilalih urusan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan setelah memiliki 65 peratus pegangan saham ke atas NS Water Konsortium.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shahrim berkata, kerajaan negeri bersetuju memberi konsesi sekurang-kurangnya 30 tahun dan diberi hak untuk mengkaji semula tarif air di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri juga setuju membenarkan SCIB untuk menaikkan tarif harga air sebanyak 25 peratus sebaik sahaja operasi pengambilalihan bermula.

"Lebih malang, kerajaan negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan hanya diberi pegangan 10 peratus sahaja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Badrul Hisham berkata, setiap lima tahun hingga 2026 akan berlaku kenaikan tarif sebanyak 20 peratus, tahun 2026 hingga 2034 dinaikkan sebanyak lima peratus setiap lima tahun.

"Ini bermakna harga air di Negeri Sembilan akan mencecah sehingga hampir RM3 setiap `cubic meter'," katanya lagi.

Beliau berkata, kenaikan yang tinggi ini cukup membebankan rakyat Negeri Sembilan terutama sekali penduduk kampung yang berpendapatan rendah.

Krisis air

Menurutnya, PKR dan Barisan Alternatif (BA) Negeri Sembilan mendesak kerajaan negeri menarik balik penswastaan tersebut selaras dengan janji Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa kerajaan pimpinannya mengutamakan kepentingan rakyat.

Sementara itu, katanya, krisis bekalan air masih berlanjutan di Negeri Sembilan yang kini memasuki bulan ketiga dengan catuan air setiap 24 jam.

Badrul Hisham berkata, masalah ini membebankan rakyat dan tidak ada tanda akan berakhir dalam tempoh yang terdekat ini.

Katanya, masalah ini berlaku kerana kegagalan enam kontraktor melaksanakan projek bekalan air bernilai RM132.28 juta di negeri itu.

Badrul Hisham berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat perkara itu.

Katanya, laporan oleh Ketua Audit Negara pada 2002 menyatakan bahawa projek bekalan air di Negeri Sembilan gagal meskipun peruntukan sebanyak RM132.28 juta telah dibelanjakan.

"Kita mendapat tahu keenam-enam kontraktor itu ada kaitan dengan Umno, ini menyebabkan kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Asas, Ir Jamlus Aziz tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara tersebut.