Kerajaan hari ini menyekat capaian pada laman Steam, kedai permainan video atas talian terbesar di dunia.

Sekatan itu dibuat susulan aduan terhadap penjualan permainan video pertarungan “Fight of Gods" yang menggunakan dewa-dewa dan tuhan pelbagai agama sebagai wataknya.

Beberapa pengguna Steam memberitahu Malaysiakini bahawa laman itu tidak boleh dicapai sejak petang ini.

Bagaimanapun perisian Steam – yang diperlukan untuk membuka permainan yang dimuat turun – masih berfungsi.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menuntut Steam menghalang "Fight of Gods" daripada dimuat turun pengguna Malaysia.

"Fight of Gods" dilancarkan pada 4 September lalu oleh pembangun permainan Taiwan, Digital Crafter.

Antara watak-watak dipaparkan permainan itu adalah Buddha, Isa, Musa, Odin, Anubis, Zues dan Guan Yu.