Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan sibuk namun lancar setakat 4 petang ini susulan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke destinasi masing-masing bagi menyambut Aidiladha dan cuti sekolah.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata aliran trafik terkawal di Slim River menghala ke Sungkai dan dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

Di selatan, trafik turut lancar dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat manakala di Tambak, Johor dilaporkan agak sesak di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura ke Malaysia, katanya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula berkata trafik dilaporkan masih perlahan dari Gombak ke Genting Sempah menuju ke arah Timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

 

-Bernama