Pilu dan sebak meruntun jiwa ikon muzik antarabangsa AR Rahman sebaik mengenangkan kematian mangsa buli yang bercita-cita untuk menjadi komposer sepertinya.

Walaupun dipisahkan jarak beribu-ribu batu, nasib malang menimpa T Nhaveen pada Jun lalu tetap mendapat perhatian pemenang anugerah Oscar itu.

AR Rahman turut mendedahkan insiden kejam itu memberi kesan kepadanya.

"Ia tidak harus berlaku. Saya amat terkesan dan terganggu dengan nasib menimpa remaja terbabit," katanya.

AR Rahman berkata demikian pada majlis pelancaran dan tayangan dokumentarinya berjudul One Heart di Kuala Lumpur semalam.

Nhaveen didakwa dipukul dan diseksa sekumpulan pemuda di Jalan Kaki Bukit, Gelugor di Pulau Pinang dan disahkan berada pada tahap mati otak pada 15 Jun lalu.

Terdahulu, AR Rahman berkongsi laporan sebuah portal berita tempatan yang menyiarkan hasrat Nhaveen ingin menjadi komposer sepertinya.

Kira-kira sejam sebelum remaja berusia 18 tahun itu meninggal dunia, pemuzik itu sempat mendoakannya agar segera.

Menurut ibu saudara Nhaveen, remaja itu sepatutnya mendaftar di sebuah kolej bagi mengikuti kursus gubahan lagu pada 12 Jun lalu.

Nhaveen meninggal dunia selepas koma akibat kecederaan parah termasuk mengalami kesan koyak di bahagiam dubur akibat tusukan objek tumpul.

Sementara itu, berkongsi mengenai buah tangan terbarunya, AR Rahman berkata dokumentari itu adalah yang pertama dihasilkan.

Karya itu memaparkan perjalanan 25 tahun dirinya sebagai anak seni dan mengendalikan konsert di seluruh negara.

"One Heart adalah percubaan baru yang menampilkan sedutan eksklusif yang dirakam sepanjang konsert," katanya.

Malik Streams Corporation - pengedar syarikat filem Malaysia - yang bertanggungjawab mengeluarkan perbelanjaan promosi tayangan One Heart akan menyalurkan hasil kutipan tiket kepada Yayasan AR Rahman.