Mufti: Penting dokumentasi penceraian
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri hari ini menjelaskan mengenai kepentingan dokumentasi untuk mensabitkan sesuatu penceraian.
Bersandarkan hadis dan pendapat ulama dalam kitab-kitab mereka, Zulkifli menjelaskan tanpa dokumentasi, status perkahwinan terkini seseorang wanita yang telah bercerai dengan suaminya menjadi tergantung.
"Ini kerana jika tidak wujud bayyinah, sama ada dengan perakuan dua orang saksi yang adil, atau kitabah (dokumen penulisan yang diiktiraf), maka status perceraian wanita itu tergantung pada bekas suaminya yang pertama.
"Jika wanita itu mendakwa suami pertamanya sudah menceraikannya dan lelaki itu mengaku tetapi pengakuan tersebut dibuat tetapi tidak direkodkan secara sahih, maka jika tiba-tiba lelaki itu bersumpah bahawa dia tidak pernah menceraikan isterinya, maka isteri itu wajib kembali kepada suami pertama kerana kaedah istishab (pengekalan hukum asal).
"Maka di manakah keadilan bagi pihak wanita? Oleh kerana itu, ditambah dengan masyarakat moden yang semakin kompleks, amat wajar tindakan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia mewajibkan rekod bagi urusan perkahwinan dan perceraian," jelas beliau dalam artikel bertajuk “Bayan Linnas Siri ke-109 : Isu Perceraian Selebriti : Jagalah Adab-Adabnya”.
Meskipun tidak menamakan mana-mana pihak, artikel itu dipercayai merujuk laporan meluas media mengenai pembubaran perkahwinan selebriti, Hafiz Hamidun dan bekas isterinya, Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin baru-baru ini.
Joy Revfa pada Selasa lalu berkata, dia memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam atas alasan pernikahan mereka diragui suami.
Sebelum itu, Hafiz mendakwa dia meragui status perkahwinannya selepas Joy gagal menunjukkan dokumen perceraian dengan suami terdahulu walaupun diminta berulangkali.
Di tengah-tengah konflik antara mereka, bekas suami kepada Joy, Datuk Ray Imran pula percaya Hafiz cuba melindungi sesuatu dengan memanjangkan kontroversi perkahwinan dengan usahawan kosmetik itu.
Elak mudarat
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata dalam konteks hari ini adalah penting perkahwinan dan perceraian didaftar mengikut saluran yang sah bagi menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita.
"Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu iddah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut.
"Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas iddah tamat," jelasnya.

