Umno: Kerugian forex benar, 1MDB di atas kertas
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menggariskan perbezaan antara kerugian pertukaran asing (forex) Bank Negara dan 1MDB.
Beliau bekata, bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat kerugian forex itu merumuskan bahawa jumlah yang terlibat adalah lebih RM30 bilion.
“RM30 bilion itu adalah kerugian sebenar yang tidak akan negara dapat balik sampai bila-bila. Bukan kerugian yang hanya di atas kertas, tetapi kerugian sebenar yang kita hilang buat selama-lamanya.
“Ia tidak seperti isu yang berlaku kepada 1MDB, di mana kerugian 1MDB itu berdasarkan di atas kertas, namun perniagaan 1MDB masih berjalan, masih mampu memperoleh untung dan masih mampu melakukan rasionalisasi bagi mengatasi sebarang kerugian yang berlaku,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.
Annuar yang juga adalah ahli parlimen Ketereh berkata, pihak pembangkang pula membayangkan seolah-olah hutang 1MDB itu tidak mampu dilunaskan dan rakyat terpaksa menanggungnya.
“Ini satu maklumat yang tidak betul. Kerugian itu hanyalah dari atas kertas dan dari segi perniagaan, syarikat 1MDB tidak lingkup secara total dan masih lagi menjalankan perniagaannya,” katanya.
Sebaliknya, Annuar menyifatkan kerugian forex itu sebagai satu rekod dunia.
“Ini satu kerugian yang mencatat rekod dunia di mana tidak ada negara yang mengalami kerugian begitu besar yang menyebabkan kehilangan separuh daripada rezab negara,” katanya.

