Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menjelaskan berlaku kekeliruan mengenai jadualnya semalam, menyebabkan beliau tidak menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Pemuda MCA semalam.

Manakala Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein pula, katanya, sedang berada di Bangkok.

"Ia bukan disengajakan dan kami memohon maaf kepada Pemuda MCA jika ia menyinggung perasaan mereka. Itu sebab kami datang hari ini," katanya.

Khairy (foto) dan Hishammuddin tidak menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Pemuda MCA semalam.

Sementara itu, Khairy berkata setiap parti mempunyai hak untuk mengemukakan cadangan tetapi apa pun dasar yang diperkenalkan kerajaan, ia mesti dirundingkan terlebih dahulu.

Beliau menganggap ucapan-ucapan yang menyentuh soal kepentingan kaum
dalam perhimpunan Pemuda MCA semalam sebagai perkara biasa dalam politik.

"Walaupun dalam perhimpunan Umno, MCA dan MIC, kita sentiasa berhujah berapi-api tentang isu dan agenda kaum masing-masing, namun kita tahu perkara ini harus diselesaikan dengan semangat muafakat dalam BN," katanya

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, Hishammuddin yakin pemilihan Datuk Liow Hee Lai dan Hee Leong sebagai ketua Pemuda dan timbalan ketua Pemuda MCA, akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua sayap pemuda itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran ternyata gembira dengan kemenangan Liow dan Ling dan berharap pemilihan mereka akan dapat membantu kerajaan Barisan Nasional memperkukuhkan agenda nasional.

"Kita akan berdepan dengan cabaran dan cara bagaimana kita menangani cabaran itu bergantung kepada kepimpinan. Saya lihat dengan kemenangan ini, masa depan Pemuda MCA dan Umno akan bertambah cerah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penlancaran program anak angkat Bakti di Shah Alam hari ini.

Beliau berharap kedua-dua pemimpin itu tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli pergerakan itu, dengan bekerja keras bagi memastikan keutuhan parti.

Ling: Mereka layak

Sementara itu, bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menyifatkan kejayaan dua anak lelaki beliau dalam pemilihan Pemuda MCA semalam tidak dipergaruhi kedudukannya dalam parti sebelum ini.

Sebaliknya, kata beliau, Hee Leong dan Hee Keat dipilih berdasarkan kepada keupayaan dan kebolehan mereka melalui proses demokrasi.

"Saya ucap tahniah kepada mereka dan kerja mereka bermula sekarang. Saya dah bersara dan tidak lagi ada pengaruh dalam parti," katanya mengulas mengenai kejayaan anak-anaknya.

Hee Leong memenangi kerusi Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda MCA selepas
mengalahkan tiga pencabarnya yang lain manakala Hee Keat pula terpilih menganggotai jawatankuasa pusat pergerakan itu.

Ditanya apakah nasihat beliau kepada anak-anaknya itu, Dr Ling berkata, mereka sudah matang dan mampu menentukan halatuju politik sendiri.

"Itu semua terpulang kepada mereka. Mereka telah berumur lebih 21 tahun dan boleh membuat pendirian sendiri," katanya.

Sementara itu naib ketua pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang hadir bersama Hishammuddin di majlis perasmian perhimpunan agung MCA di Wisma
MCA hari ini menganggap ucapan-ucapan yang menyentuh soal kepentingan kaum
dalam perhimpunan Pemuda MCA semalam sebagai perkara biasa dalam politik.

"Walaupun dalam perhimpunan Umno, MCA dan MIC, kita sentiasa berhujah berapi-api tentang isu dan agenda kaum masing-masing, namun kita tahu perkara ini harus diselesaikan dengan semangat muafakat dalam BN," katanya.

Ditanya mengenai ketidakhadirannya atau Hishammuddin dalam mesyuarat
agung Pemuda MCA semalam, Khairy berkata, berlaku kekeliruan mengenai
jadualnya semalam manakala Hishammuddin berada di Bangkok.

"Ia bukan disengajakan dan kami memohon maaf kepada Pemuda MCA jika ia menyinggung perasaan mereka. Itu sebab kami datang hari ini," katanya.

Khairy juga berkata setiap parti mempunyai hak untuk mengemukakan cadangan tetapi apa pun dasar yang diperkenalkan kerajaan, ia mesti dirundingkan terlebih dahulu.