Sekumpulan anggota PKR tampil menyatakan sokongan kepada protes William Leong terhadap rundingan dengan PAS dengan meletakkan jawatan sebagai anggota biro politik parti.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu menyokong tindakan Leong yang menurut mereka sukar bagai di luah mati emak, ditelan mati bapa.

“Kami juga mohon supaya presiden dan timbalan presiden PKR mempertimbangkan alasan-alasan yang beliau kemukakan demi maruah dan prinsip parti,” kata Timbalan Pemuda PKR Selayang A Andy yang membacakan kenyataan itu.

Kumpulan itu juga menuntut PKR menetapkan tarikh akhir untuk rundingan dengan PAS.

“Ini amat penting bagi gerak kerja parti dan Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya umum ke-14,” menurut kenyataan itu lagi.

Sidang media itu diadakan di pusat khidmat anggota parlimen Selayang di ibu negara.

Leong adalah anggota parlimen kawasan itu.

Leong meletakkan jawatan sebagai anggota biro politik PKR selepas beberapa pimpinan tinggi parti itu masih cuba meraih sokongan PAS yang sebelum ini memutuskan kerjasama politik kedua-dua pihak.

Biro Politik PKR minggu lalu memutuskan untuk memberi peluang kepada presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali berbincang dengan PAS.

Azmin yang juga menteri besar Selangor sebelum ini mengaku sudah pun memulakan rundingan tidak rasmi – langkah yang menimbulkan rasa tidak senang sekutu mereka dalam Pakatan Harapan.

Anggota parlimen Rawang Gan Pei Nei turut hadir dalam sidang media itu, selain pembantu Leong, Chee Chu Sang.

Gan bagaimanapun dilihat mempunyai pandangan berbeza dalam isu itu apabila menegaskan gesaan supaya PKR lebih terbuka menjalinkan kerjasama bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita patut ambil sikap lebih terbuka dengan mana-mana pihak yang mahu melakukan perubahan bersama-sama.

“Dalam kes itu, jika kamu tanya saya pasal PAS, ya, kita patut dekati dan bincang,” katanya.

“Perbincangan ini di peringkat kepimpinan, kitga sedahkan kepada pebijaksanaan kepimpinan. Saya harap apa jua rundingannya, ia adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan tarikh akhir untuk rundingan itu.

Sementara itu, Chee pula berkata selain tarikh akhir, PAS patut diberikan syarat.

“PAS patut tunjukkan keikhlasan untuk berunding dengan kita. Jika tidak jujur, kita tidak patut berunding,” katanya.