Perhimpunan Pemuda MCA: Hisham, Khairy tidak hadir
Beh Lih YiPublished: Aug 19, 2005 9:28 AM | Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
Pemimpin utama Pemuda Umno tidak kelihatan di majlis perasmian perhimpunan agung Pemuda MCA ke-42 hari ini. Adakah mereka memulau majlis hari ini?
Bagaimanapun, Ketua Pemuda MCA, Datuk Ong Tee Keat, menolak kemungkinan itu. Beliau juga meminta wartawan jangan mengaitkan isu tersebut dengan ketegangan yang wujud berikutan gesaan Pemuda Umno supaya dihidupkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan orang Melayu setanding dengan bangsa lain menjelang 2020.
Gesaan tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein, yang turut menghunuskan sepucuk keris di perhimpunan agung pergerakan itu baru-baru itu.
Ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan sesetengah pihak, terutama bukan Melayu. Sementara itu, Ong memberitahu sidang akhbar tersebut bahawa Hishammuddin, yang juga Menteri Pendidikan, tidak dapat hadir kerana beliau berada di Bangkok kerana menghadiri mesyuarat peringkat menteri Asean.
Memang menjadi satu amalan dalam Barisan Nasional di mana Ketua Pemuda Umno akan menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Pemuda MCA.
Yang lain hadir
Ditanya mengapa pemimpin-pemimpin Pemuda Umno yang lain juga tidak kelihatan, termasuk Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, Ong berkata, wakil daripada urusetia pergerakan itu menghadiri majlis perasmian hari ini.
"...(Bagaimanapun) pemimpin Pemuda dari parti komponen BN yang lain hadir hari ini," katanya, merujuk kepada Ketua Pemuda Gerakan, Mah Siew Keong; Ketua Pemuda MIC, S Vigneswaran dan pemimin dari Parti Progresif Rakyat(PPP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak(Supp).

Di sidang akhbar yang sama, Ong ditanya sama ada kontroversi membabitkan pengambilalihan dua akhbar bahasa Cina oleh MCA pada tahun 2001 akan dibahas dalam perhimpunan hari ini berikutan gesaan oleh 16 kumpulan supaya parti itu melepaskan pegangannya.
"Keputusan untuk pengambilalihan over Nanyang Press Holdings dibuat dalam satu perhimpunan agung luar biasa, oleh itu, perkara tersebut hanya sesuai dibincang oleh badan induk parti," jawabnya.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Ong berkata parti itu tidak akan bertolak ansur dalam memastikan kepentingan masyarakat Cina dalam sebarang dasar kerajaan.
Tegasnya, pergerakan itu menolak sebarang agenda yang dilaksanakan secara tergesa-gesa, tanpa mendapat kata sepakat semua kaum.
Pertandingan sengit
Berhubung cadangan Pemuda Umno untuk melaksanakan Agenda Baru Nasional, Ong berkata, pergerakan itu mencadangkan supaya sebuah badan seperti majlis perundingan ekonomi negara, ditubuhkan.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Chan Kong Choy yang merasmikan majlis tersebut, juga menggesa para perwakilan supaya menolak politik menu dan menasihatkan mereka supaya tidak menggunakan pemilihan kali ini untuk melepaskan geram atau untuk tujuan peribadi. Perhimpunan kali ini dihadiri oleh paling ramai perwakilan, iaitu 1,713 atau 95.27 peratus daripada 1,798 perwakilan.
Pemilihan jawatan ketua Pemuda akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Setiausaha Agung pergerakan itu, Liong Tiong Lai dan ketua bahagian Kapar, Song Kee Chai.
Pemilihan jawatan timbalan ketua pula membabitkan pertandingan empat penjuru, antara Loh Seng Kok, Simon Lim, Lim Hee Leong dan Liew Yuen Keong. Ketika calon-calon diperkenalkan, Liow dan Hee Leong mendapat tepukan paling gemuruh.
Keputusan pemilihan dijangka diumumkan pada jam 6.30 petang ini. Terjemahan/berita asal
View Comments0

