Terjemahan Selepas tidak dilantik semula dalam kabinet selepas pilihanraya umum lalu, Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng muncul kembali, dan kali ini beliau bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu Sabtu ini.

Dalam wawancara dengan malaysiakini, beliau berkata seseorang pemimpin itu mesti sentiasa bertemu rakyat dan ahli-ahli parti. Beliau juga bercakap mengenai pentingnya manifesto pemilihannya dan visinya untuk parti dan masyarakat.

Malaysiakini: Apakah komen Datuk mengenai keputusan Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting menolak jemputannya untuk berbahas dengannya secara terbuka, dengan alasan ia boleh menjejas imej parti?

Datuk Chua: Dalam setiap pemilihan secara demokratik yang matang, calon-calon khususnya yang bertanding jawatan tinggi parti, tidak kira kedudukan mereka, akan berdebat.

Adakah Datuk kecewa?

Saya sedih. Ia adalah semangat demokrasi, apabila kita sampai ke pemilihan penting seumpama ini, rakyat mahukan pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa yang mempunyai sikap terbuka dan bersedia berkomunikasi dengan mereka. Jika kita kata kita mewakili satu kumpulan, maka kita mesti bersedia menemui mereka.

Jadi, Datuk telah menemui masyarakat Cina, berdebat dengan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, tetapi masih belum dapat berdebat secara terbuka dengan pencabar Datuk.

Ya, saya mempelawa (berdebat) sebanyak dua kali dalam Mandarin dan bahasa Inggeris, tetapi beliau menolaknya. Salah sebuah akhbar bahasa Cina telah memainkan isu itu bahawa calon-calon berpendidikan Cina mempunyai kelebihan (dalam pemilihan). Saya tidak mempunyai latarbelakang pendidikan Cina, tetapi saya bersedia untuk berdebat dengannya dalam Mandarin.

Saya bersedia bertemu dengannya (untuk berdebat) menggunakan tiga bahasa ((Inggeris, Mandarin dan Bahasa Malaysia) kerana negara memelukan pemimpin yang boleh berkomunikasi dalam kesemua tiga bahasa itu. MCA mesti sentiasa ingat kita tidak boleh menjadi 'hero kampung' kerana kita bukan sahaja mewakili masyarakat Cina tetapi juga semua rakyat Malaysia.

Adalah Datuk memanggal pencabar Datuk sebagai 'hero kampung'?

Tidak, saya bercakap secara umum mengenai kualiti seorang pemimpin yang kita perlu miliki.

Bagaimana dengan dakwaan pencabar Datuk yang mereka telahpun melaksanakan visi yang disebut dalam manifesto Datuk?

Benarkah begitu? (Biar mereka) nyatakannya secara bertulis. Sekiranya ia dibuat secara bertulis, orang ramai boleh menilai prestasi pemimpin untuk tempoh 10 tahun akan datang. Tetapi jika secara lisan, saya memberi jaminan orang ramai akan melupainya, malah perwakilan juga akan lupa. Mereka mesti menyatakannya dalam hitam putih.

Tapi jika mereka kata mereka telah melaksanakannya?

Anda mempunyai pasukan pemikir di belakang anda seperti Insap (Institut Strategik Analisis dan Penyelidikan Dasar). Saya tidak ada Insap dan ibu pejabat yang besar di belakang saya. Sebaik sahaja yang memutuskan untuk bertanding jawatan presiden, saya terus mengeluarkan manifesto bertulis. Saya mampu melakukannya kerana wujudnya visi itu dalam jiwa saya dan (saya) tidak mempunyai jawatan/kedudukan untuk menyuarakannya. Hanya presiden parti mempunyai kedudukan dalam parti untuk membuat perubahan.

Bagaimana pdengan komen Naib Presiden Datuk Dr Chua Soi Lek yang sesetengah pemimpin berdiam diri dalam parti tetapi bersuara lantang di luar (parti).

Saya rasa setiap orang yang telah bekerja dengan saya sejak saya menganggotai jawatankuasa pusat pada 1987 akan tahu bahawa Chua Jui Meng adalah seorang yang sentaisa bercakap mengenai isu-isu penting seperti ucapan saya di Parlimen mengenai dilema masyarakat Cina pada 1988 dan isu Nanyang. Seperti kata-kata dalam Injil 'si bodoh yang berdiam diri adalah bijaksana. Bila tiba masanya, anda patut bercakap dan bercakap dengan bijaksana.

Pencabar Datuk bekerja kuat sebagai satu pasukan dan Datuk dilihat bergerak seperti 'lone ranger' ketika berkempen.

Saya tidak mempertikaikan yang mereka bekerja kuat tetapi hasilnya itu adakah hasil yang kita harapkan daripada seorang presiden? Para pemimpin masa lalu membina Kojadi, Kolej TAR, Utar. Jadi masanya sudah sampai untuk menyahut gesaan para komentator bahawa MCA tidak sepatutnya menjadi sebuah pertubuhan sosial. Anda mesti mengetahui tanggungjawab kepada masyarakat. Mereka tidak mahu melihat pertubuhan sosial hanya melakukan kerja-kerja sosial seperti pendidikan. Bagi mereka, ia adalah sebuah parti politik, jadi anda sepatutnya bergerak seperti parti politik.

Bagaimana Datuk hendak mengubahnya?

Pertama sekali, sebarang parti politik mestilah kuat dan terus hidup dalam era bara, jadi kita mesti ada visi. Hari ini, keadaan sekeliling telah berubah daripada kurun yang lalu. Sekarang 80 peratus masyarakat Cina adalah golongan kelas pertengahan berpendidikan tinggi dan mereka mahu tahu 'apakah ada releven kepada mereka'. Saya tahu, di dalam hati mereka, mereka mahu transformasi. Mesti ada pelan induk dalam politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Semua ini disebut dengan jelas dalam manifesto saya.

Ada sesetengah pihak yang bertanggapan Datuk mengelak menyatakan pendirian jelas berhubung beberapa isu kontroversi seperti pengambilalihan Nanyang Press Holding, pentutupan SRJK(C) Damansara, dan peralihan penggunaan bahasa. Apakah pendirian Datuk?

Mereka (isu-isu ini) diputuskan oleh pemimpin Barisan Nasional, dan dasar-dasar kerajaan. Saya faham pendirian kerajaan. Sekarang saya bukan presiden, dan tidak dalam kedudukan yang boleh membuat perubahan, jadi bersabarlah. Tetapi kita boleh lihat pentadbiran ini (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengambil pendekatan mesra rakyat. Saya bersedia menangani semua isu-isu ini.

Dalam pelan induk saya, saya mencadangkan penubuhan empat jawatankuasa nasional untuk membincangkan setiap isu tersebut. Jika mereka mahu berbincang mengenai pertukaran bahasa atau SRJK (C ) Damansara, biar mereka bincang. Kerana ini adalah sebuahb kerajaan yang rasional, kita mesti membangkitkan isu-isu berdasarkan pengetahuan, fakta dan statistik.

Datuk memberitahu akhbar Oriental Daily News baru-baru ini bahawa Datuk telah disekat untuk berkempen. Adakah Datuk masih berdepan masalah untuk menemui para perwakilan?

Masalah yang cukup besar. Beberapa perwakilan yang bebas bersedia untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada saya., tetapi tiba-tiba mereka menerima panggilan telefon. Tentu ada sistem pengawasan. Saya tidak mengawal media. Mereka dikawal oleh penyandang untuk digunakan bagi tujuan luar biasa seperti dalam sebuah akhbar bahasa Cina baru-baru ini telah diputarbelitkan, memberi tanggapan yang tidak baik mengenai diri saya. Malah dalam media bahasa Inggeris pun, apabila saya mengeluarkan manifesto, mereka hanya menyiarkannya sedikit sahaja. Tiada siapa yang mengetahui mengenai manifesto. Saya mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan Cina, mereka (media) tidak menyiarkannya. Jadi adalah jelas, (saya) tidak mendapat tempat (dalam media).

Jika kita lihat kepada pemilihan, ianya pertandingan untuk semua orang. Adakah Datuk bergabung dengan mana-mana calon lain?

Apa yang berlaku hari ini ialah kita sudah ada 'set lunch' dan bukan menu. Lagu yang sama didendangkan di seluruh negara 'hanya pilih yang dua ini' (Presiden Ong dan timbalannya, Datuk Chan Kong Choy), anda mesti angkat tangan. Mereka berkata, 'kamu semua tidak perlu fikir-fikir, ikut sahaja, bukan tugas kamu untuk berfikir atau membuat analisa, cukuplah dengan mengangkat tangan (memilih mereka yang sudah ditetapkan). Jadi memang diperlukan satu perubahan drastik. Jawatankuasa Disiplin mesti ditukar berdasarkan kepada kejadian-kejadian yang saya lihat sendiri berlaku.

Seperti?

Saya tidak mahu menyebutnya. Dalam MCA baru, jawatankuasa disiplin mesti dianggotai mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik. Ini adalah prinsip asas keadilan.

Mengenai debat Datuk dengan Khairy mengenai isu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Bagaimana Datuk membaca pemikiran pemimpin-pemimpin Umno?

Umno mempunyai sistem politik yang bagus kerana mereka mempunyai visi. Mereka benar-benar tahu apa yang mereka mahu. Mereka mpunyai program yang konkrit, bukan hanya secara simbolik. Malah Pemuda (Umno) mempunyai visi untuk mewujudkan Agenda Nasional dan mempunyai sebuah agensi pemantau untuk orang Melayu. Mereka mempunyai pemikir yang bistari.

Tetapi wujud kebimbangan dalam masyarakat Cina.

Saya faham kebimbangan itu dan saya perlu membuat pendirian. Apabila isu itu timbul, say atelah menghantar kenyataan kepada semua pihak media termasuk stesen TV tetapi ini bukan isu orang Cina, ia adalah isu nasional yang mesti diselesaikan secara bersama oleh semua rakyat Malaysia, terutama bumiputera. Saya tidak membuat kenyataan kepada media bahasa Cina sahaja untuk muncul sebagai 'hero orang Cina, 'hero kampung'.

Datuk adalah antara pemimpin tinggi MCA semasa Tun Dr Ling Liong Sik menjadi presiden. Sesetengah pihak percaya, jika Datuk tidak menentang pengambilalihan Nanyang, Datuk mungkin menjadi presiden MCA hari ini. Apakah yang mendorong Datuk mengambil pendirian tersebut?

Ia adalah satu pendirian yang berdasarkan kepada prinsip yang telah mendedahkan saya kepada risiko politik dengan membuat ucapan sepertimana ucapan saya di Parlimen pada tahun 1988. Masyarakat Cina tidak senang hati dengan pengambilalihan Nanyang oleh MCA. Saya perlu membuat pendirian sama ada melindungi kedudukan saya sebagai menteri atau bersama-sama masyarakat Cina? Itulah pilihannya. Orang berkata kerana saya berpendidikan Inggeris, mak asaya tidak faham masyarakat Cina. Saya telah membuat ucapan pada tahun 1988 yang kini disiarkan dalam lamanweb saya, dan membuat pendirian saya berhubung isu Nanyang kerana saya memahami hati budi masyarakat Cina. Saya menghasilkan teori 'ikan dan air'. Masyarakat Cina adalah 'air' dan kita adalah 'ikan'. Air boleh terus wujud tanpa ikan tetapi ikan tidak boleh hidup tanpa air.

Sesetengahnya mendakwa Datuk telah menyembunyikan wabak virus Nipah dan Sars ketika Datuk menjadi Menteri Kesihatan. Apa komen Datuk?

Semasa wabak Sars, kita menjawab soalan hari ke hari. Cara kita membanteras Sars adalah satu pendekatan yang dinamik, dengan menggerakkan 10,000 orang dalam negara. Adakah anda tahu bagaimana kami melakukannya? Kami bukan sahaja menggerak negara ini, tetapi kami menggerakkan keseluruhan rantau ini. Kamilah yang memanggil mesyuarat semua menteri kesihatan Asean+3. Dalam isu Nipah, 'virus politik' adalah lebih teruk daripada virus sebenarnya. Kami berperang dan nyawa rakyat terancam, namun begitu, mereka masih mempunyai agenda politik terhadap saya. Saya tidak mahu menyebut siapa...'siapa yang makan cili, dia tahu pedas'. Terdapat agenda politik sebelum pemilihan parti yang lalu untuk menyingkirkan saya. Pada masa itu, mana adalah menteri yang sanggup melawat ICU untuk menyatakan simpati mereka terhadap mangsa Nipah? Tetapi saya pergi ke kawasan berbahaya kerana hati saya adalah bersama rakyat. Perwakilan memberitahu saya 'jangan bimbang dengan isu Nipah kerana kami tahu apa sebenarnya berlaku', dan 95 peratus perwakilan menyokong saya.

Apakah harapan Datuk dalam pemilihan akan datang?

Saya berharap para perwakilan akan menyempurnakan hak mereka secara penuh rahsia dan pemilihan dijalankan secara aman dan harmoni. Saya penuh yakin pada perwakilan, ataupun ada budaya menyatakan sokongan terbuka dan 'set lunch'. Mereka akan tahu bagaimana hendak mengundi kerana mereka sedar yang mereka mewakili enam juta masyarakat Cina di negara ini. Saya percaya para perwakilan berkata wujud keperluan terdesak sekarang untuk melangkah ke arena politik baru, visi baru dan MCA baru.