Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa mengaitkan Datuk Seri Najib Razak sebagai dalang keganasan semasa Program Nothing to hide 2.0 Ahad lalu.

Pengerusinya Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh Azmin terhadap perdana menteri sebagai satu fitnah jahat.

“Pemimpin seperti Azmin - saya fikir anda pun tahu - dia buat satu tuduhan tanpa bukti sama sekali. Ia adalah tuduhan jelik lebih-lebih lagi kepada perdana menteri Malaysia dan kita sifatkan ia fitnah yang melampau.

“Sehingga kini saya pun tak faham kenapa Azmin keluarkan kenyataan begitu seolah-olah ada kena mengena dengan Azmin.

“GAUM dah tunggu hingga hari ini, ARMADA dan Azmin tak ada bukti mengaitkan perdana menteri yang menyuruh insiden kekacauan berlaku semasa program itu,” katanya semasa sidang media di Balai Polis Sri Petaling hari ini.

Pada Ahad lalu Azmin mendakwa Najib mendalangi keganasan forum Nothing To Hide 2.0 yang dianjurkan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA).

Forum itu diadakan di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 Shah Alam.

Menurut Azmin, Najib menggunakan budaya gengsterisme untuk menutup mulut Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjawab soalan diajukan kepadanya.

"Dr Mahathir hanya mahu berdebat mengikut amalan demokrasi dan sihat dengan Najib tetapi mendapat respon dengan balingan kasut, kerusi dan suar.

"Setelah takut berhujah, Najib menggunakan gengsterisme untuk menutup mulut Dr Mahathir dan ia adalah tindakan pengecut," kata Azmin.

Acara di Shah Alam Ahad lalu dirancang sebagai debat di antara Dr Mahathir dan Najib.

Sekurang-kurangnya tiga orang ditahan dan diserahkan kepada polis. Dr Mahathir bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Sekurang-kurangnya seorang wartawan yang membuat liputan luka di bahagian lutut semasa kekecohan terjadi.