Operasi tunda DBKL kutip RM1.4 juta
Ia juga berjaya mengurangkan kesesakan lalulintas di ibu negara, serta mendidik pemandu agar bersikap bertimbang rasa.
"Kajian menunjukkan (operasi itu) menurunkan 25 peratus kes-kes kesalahan melanggar peraturan lalulintas di beberapa batang jalan," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Tengku Azlan Sultan Abu Bakar di Dewan Rakyat pagi tadi.
DBKL setakat ini telah menunda 16,336 kenderaan pelbagai jenis yang diletakkan di tempat tidak dibenarkan dan mengenakan kompaun kepada pemiliknya apabila ia dituntut. Operasi itu diperkenalkan bagi menangani kesesakan lalulintas di ibu negara akibat sikap pemandu yang gemar meletakkan kenderaan sewenang-wenang di bahu jalan.
Tengku Azlan menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), yang membangkitkan isu operasi itu yang mendapat bantahan orang ramai serta jumlah kenderaan yang ditunda dan jumlah denda yang dikutip.
DBKL mengarahkan syarikat swasta yang menjalankan operasi itu menanggung segala kos membaik pulih kenderaan yang rosak disebabkan operasi itu, tambahnya.
"Bagaimanapun, kos tersebut akan ditanggung selepas hasil siasatan mengesahkan kerosakan itu disebabkan oleh kegiatan operasi tunda," jelasnya.
Kepada soalan tambahan seterusnya, Tengku Azlan berkata, dewan bandaraya sedang menjalankan kajian terhadap aduan orang ramai mengenai tingkah laku warden trafik yang bertindak kasar dan tidak bertimbang rasa..
Walaupun begitu, katanya, warden trafik telah diberikan arahan supaya tidak melayan sebarang rayuan daripada pihak orang ramai bagi mengelak pelbagai spekulasi.

