Kerajaan digesa supaya merundingkan semula semua perjanjian konsesi lebuhraya kerana ia lebih memihak kepada syarikat pengendalinya dan bertentangan dengan kepentingan awam, kata Prof Datuk Hamdan Adnan.

Beliau yang juga penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata kekerapan kenaikan kadar tol lebuhraya dan pampasan besar yang perlu dibayar kerajaan kepada syarikat pengendali lebuhraya, amat membebankan kerajaan dan para pengguna.

"Pasti ada jalan keluar atau fasal pelepasan dalam perjanjian berkenaan bagi membolehkan rundingan semula diadakan demi kepentingan orang ramai. Jika tidak, Fomca mahu tahu siapa yang bertanggungjawab atas kesilapan ini," katanya kepada Bernama.

Hamdan mengulas pengumuman oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu semalam bahawa kerajaan akan menghentikan amalan membayar pampasan dan subsidi kepada syarikat pengendali lebuhraya setiap kali mereka diminta jangan menaikkan kadar tol seperti dalam perjanjian konsesi.

Beliau berkata, kenaikan kadar tol akan dinaikkan setiap kali berlakunya kenaikan harga bahan api dan ia membebankan pengguna lebuhraya.

Kenderaan sudah bertambah

Hamdan berkata, Fomca percaya syarikat konsesi meraih keuntungan besar kerana jumlah kenderaan pada umumnya, meningkat lebih 10 kali ganda berbanding masa perjanjian dimeterai.

"Pada pandangan saya, cara kadar tol yang dinaikkan secara sembarangan di Malaysia menunjukkan sikap angkuh syarikat konsesi dan ketidakcekapan mereka.

"Jika mereka tidak cekap, Fomca mencadangkan kerajaan membeli semula konsesi itu dan menjualnya kepada pihak yang boleh menguruskannya dengan lebih baik," kata Hamdan.

Selama ini, katanya, orang ramai bertolak ansur dengan kenaikan kadar tol tetapi akan tiba masanya mereka tidak dapat menerimanya lagi.

"Pasti kerajaan boleh merundingkan semula perjanjian dengan syarikat konsesi dari segi kekuatan dan bukannya kelemahan. Kenaikan kadar tol secara tetap tidak ada justifikasinya daripada apa juga sudut.

"Kita juga mahu Datuk Seri Samy Vellu dan syarikat konsesi tidak terlalu meremehkan orang ramai," kata Hamdan.