Matic tepati ciri-ciri idaman Mourinho
Pengurus Manchester United (MU), Jose Mourinho berjaya membawa bekas pemainnya ketika mengemudi Chelsea, Nemanja Matic untuk berkhidmat di Old Trafford.
Pemain kelahiran Serbia itu dilaporkan mengikat kontrak selama tiga tahun bersama skuad The Red Devils dan bakal menggunakan jersi bernombor 31.
Walaupun nilai perpindahan pemain pertahanan tengah itu tidak didedahkan, media England menjangkakan MU mengeluarkan dana antara £40 juta (RM202 juta) hingga £50 juta (RM253 juta) untuk mendapatkan Matic.
"Namanja (Matic) adalah pemain MU dan Jose Mourinho. Dia memiliki ciri-ciri yang kami inginkan sebagai seorang pemain bola sepak. Kesetiaan, konsisten, bercita-cita tinggi dan semangat berpasukan.
"Saya berterima kasih kepadanya kerana mempunyai hasrat untuk bergabung bersama kami. Jika tidak kerana itu, mustahil kami memilikinya di sini," kata Mourinho.
"Saya yakin barisan pemain dan penyokong kami akan menyukainya. Selamat datang kepada pemilik nombor 31 baru kami," tambah bekas jurulatih Chelsea itu.
Mourinho adalah watak penting di sebalik karier Matic di Chelsea apabila membawa kembali pemain itu ke Stamford Bridge pada 2014.
Asalnya, Matic dibeli Chelsea pada 2009 sebelum berpindah ke Banfica pada 2011 dan dia menjadi sebahagian kunci kejuaraan Chelsea di bawah kendalian Mourihno pada musim 2014/2015.
"Kembali bersama Mourinho adalah peluang yang tak dapat saya tolak.
"Ini waktu sangat selesa untuk kelab dan saya menanti untuk berperanan mencipta lebih banyak sejarah kelab besar ini," kata Matic.
Musim lalu, pemain 28 tahun itu tampil 40 kali bersama Chelsea sekali gus membantu Antonio Conte meraih kejuaraan musim pertamanya bersama The Blues.
Namun, selepas Chelsea mengikat pemain dari AS Monaco - Tiemoue Bakayoko, Matic seolah-olah menyedari posisinya bersama pasukan itu bakal terancam pada musim depan.
Terdahulu MU sudah membeli pemain pertahanan dari Benfica, Victor Lindelof dan penyerang berbisa, Romelu Lukaku dari Everton.

