Malaysia tidak pernah menjalankan sebarang program perkayaan uranium pada masa ini dan lampau sebagaimana didakwa majalah Time dalam artikelnya "Next Steps in the Iran Nuclear Standoff" di lamanwebnya Rabu lalu, tegas Kementerian Luar.

Kementerian itu berkata kegiatan nuklear Malaysia pada masa ini semata-mata ditumpukan kepada aplikasi aman teknologi nuklear dalam bidang bukan penjanaan kuasa.

"Oleh itu, tidak perlu bagi Malaysia mengeluarkan bahan bakar nuklear atau menjalankan sebarang aktiviti perkayaan uranium sebagaimana didakwa," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Penulis majalah itu Andrew Purvis dalam artikel berkenaan mendakwa bahawa Malaysia bersama Argentina dan Brazil tidak akan menyetujui sekatan terhadap Iran kerana aktivitinya di bawah Perjanjian Menentang Perluasan Senjata (NPT).

Ini kerana mereka "mempunyai program perkayaan uranium aman sendiri" dan "tidak mahu program ini menghadapi risiko dengan mengenakan sekatan ke atas Iran kerana aktivitinya yang dibenarkan di bawah NPT," katanya dalam artikel itu.