Lebih ramai penceramah PAS ditangkap
Dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan ceramah yang berbau politik, polis telah bertindak menahan Ketua Dewan Ulama PAS Johor, Abdullah Husin dua hari lalu kerana memberi ceramah tanpa permit.
Difahamkan semakin banyak tangkapan yang dibuat ke atas penceramah-penceramah politik lain sejak awal bulan ini di seluruh negeri terutamanya di Kedah dan Johor.
Sehubungan itu, pembangkang akan mengemukakan satu usul tergempar berhubung pembekuan permit kepada penceramah tertentu pada sidang Dewan Rakyat esok.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar memberitahu malaysiakini selepas sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, usul itu dibuat berikutan beberapa permohonan permit ceramah PAS tidak diluluskan oleh pihak polis tanpa memberi sebarang alasan.
"Ia satu gerakan seolah-olah menghalang ceramah oleh parti pembangkang," kata Mahfuz
Apabila ditanya tentang perlantikan wakil Cina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) tertinggi PAS, Mahfuz menjelaskan ahli-ahli PAS menyokongnya sebulat suara.
Malah, katanya perlantikan wakil Cina sebagai jambatan kepada masyarakat bukan Melayu untuk memahami lebih dekat konsep perjuangan PAS yang sebenar.
Sebelum ini, kepimpinan tertinggi PAS menyokong perlantikan Exco negeri Kelantan, Anuar Tan Abdullah sebagai AJK PAS Pusat.
Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, dipertanggungjawabkan dalam Lajnah Perpaduan Nasional bagi memberi penerangan mengenai konsep Islam parti itu kepada rakyat bukan Islam dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mahfuz menjelaskan wakil kaum Cina itu diharapkan dapat menangkis tanggapan negatif pihak luar dan sebarang kekeliruan terhadap perjuangan PAS ke arah menegakkan kebenaran, keadilan dan kebajikan yang menjadi dasar dalam Islam.
Di samping itu, PAS juga akan melancarkan kempen penerangan kepada masyarakat melalui laman webnya Harakahdaily dan akhbar Harakah bagi menjelaskan kekeliruan yang wujud berkaitan konsep Islam yang diperjuangkan parti itu.

