Penal Rayuan Umno akan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Isnin depan hasil siasatannya terhadap rayuan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa samad dan lapan lagi ahli Umno.

Pengerusinya, Tan Sri Zuki Kamaluddin berkata MT akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak cadangan daripada penal rayuan tersebut.

Mohd Isa digantung keahliannya selama enam tahun atau dua penggal pada 27
Jun lalu kerana melanggar tataetika parti dalam pemilihan agung Umno tahun
lalu dan beliau mengemukakan rayuan pada 6 Julai lalu.

Selain kes Mohd Isa, enam daripada baki lapan kes rayuan lagi juga berkait rapat dengan kes beliau, menyebabkan Panel Rayuan itu perlu mendengar semua kes sebelum membuat rumusan.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat itu di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, Zuki berkata penal rayuan itu memerlukan lebih banyak masa bagi memutuskan kes rayuan bekas Mohd Isa dan lapan ahli Umno yang lain.

Katanya, panel tersebut sedang mengkaji serta memperhalusi rayuan sembilan ahli Umno terbabit dan memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat rumusan dan keputusan.

Dua hari lalu, media melaporkan bahawa keputusan rayuan Mohamed Isa,
yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, serta lapan lagi ahli Umno yang
lain akan diputuskan hari ini.