Setiap perwakilan berhak menemui calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan parti MCA bulan ini tanpa sebarang sekatan, kata presiden parti MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan itu berkata beliau langsung tidak tahu menahu sekiranya ada pihak yang bertindak menghalang perwakilan daripada berjumpa mana-mana calon.

"Saya sendiri tidak pernah sekat sesiapa. Tidak ada arahan atau tekanan dari saya, kalau ada arahan dari saya untuk berbuat begitu, orang tak akan suka itu. Takkan saya nak buat perkara yang menjejaskan kewibawaan saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan MCA Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng yang mendakwa bahawa ada pihak bertindak menyekat perwakilan daripada berjumpa dengannya.

Chua yang akan mencabar Ong bagi jawatan presiden parti sebelum itu memberitahu pemberita bahawa beliau kesal dengan perkara tersebut kerana menurutnya pemilihan sepatutnya berlandaskan demokrasi dan semua perwakilan perlu bebas berjumpa dengan mana-mana pihak.

Menurut laporan Bernama, Ong berkata beliau langsung tidak tahu sekatan apa yang dimaksudkan oleh Chua.

Turut di perhimpunan hari ini adalah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy, Naib Presiden yang akan bertanding jawatan presiden melawan Ong, Datuk Chua Jui Meng dan Pengerusi MCA Kelantan Datuk Fong Chan Onn.