Umno mula diserang perasaan malu. Untuk menutup muka merah padam itu, Umno mencari litar pintas dengan cara menyalahkan kakitangan awam - kononnya mungkin ada pegawai bomba yang cuba 'memanipulasikan keadaan.'

Sudah dua minggu marak api Dewan Tunku Canselor (DTC) padam tetapi kini giliran punggung Umno pula kepanasan. Nampaknya Umno makin gelisah, tidak senang duduk.

"Apakah wujud anasir-anasir tertentu dalam jabatan bomba itu sendiri mahupun yang berada di luar yang cuba untuk memanipulasikan keadaan lantas memerangkap akhbar dengan motif membantu pembangkang terus memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin kerajaan," tanya satu tulisan pada laman web rasmi parti itu semalam.

Umno menyifatkan mereka yang mendedahkan beberapa maklumat strategik daripada siasatan rasmi jabatan bomba kepada akhbar, laporan terawal Malay Mail, sebagai "kewujudan anasir-ansir yang 'menggigit tangan yang menyuapkan mereka'."

Malah Umno menuduh mereka sebagai sebahagian "tali barut pembangkang"!

"Ramai dari mereka yang duduk dalam kerajaan dan Umno yang menjadi penyokong dan tali barut pembangkang sama ada secara sembunyi mahupun terang-terangan boleh memanipulasikan sebarang keadaan dan juga rahsia dalam jabatan dan parti untuk membantu pihak tersebut," tulisan itu dipetik.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam siasatannya dilaporkan menolak sebarang perbuatan khianat sebagai punca kejadian pada awal pagi 29 Jun lalu yang memusnahkan 90 peratus bangunan itu.

'Perbuatan khianat yang dirancang'

Laporan Berita Harian Khamis lalu menyebut, jabatan itu mengenal pasti tiga sebab kejadian itu: sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.

Jabatan itu dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina. Penggunaan tenaga elektrik di dewan itu pula meningkat kerana pemasangan pelbagai peralatan semasa persiapan menganjurkan 'Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' yang dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri pada 1 Julai.

Tetapi beberapa jam selepas kejadian itu, pemimpin-pemimpin Umno terlebih lajak daripada laju! Mereka membuat pelbagai andaian - termasuk tohmahan negatif kepada beberapa kumpulan pelajar, khususnya di Universiti Malaya.

Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mendakwa kejadian itu mempunyai kaitan dengan golongan "pelajar yang militan" dan "kemungkinan dipengaruhi golongan tertentu."

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim dilaporkan berkata beliau "tidak menolak kemungkinan kejadian kebakaran DTC adalah perbuatan khianat yang dirancang" ketika mengulas tangkapan dua pemimpin pelajar - termasuk daripada Universiti Malaya, Mohamad Fuad Mohd Ikhwan - minggu lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Turut ditahan mengikut akta itu, aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Sementara bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, sebagai penganjur bersama simposium itu, pula dilaporkan berkata beliau "mengesyaki kebakaran itu adalah satu sabotaj yang dirancang bagi menggagalkan" acara itu.

Hal penting ditangguh-tangguhkan

Sekarang Umno cuba mencari helah, khususnya dengan cara tidak mengumumkan laporan-laporan tiga jabatan - termasuk Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas (JBEG) dan Jabatan Kimia - yang telah siap dan diserahkan kepada kerajaan. Hanya polis yang agak lembab - siasatan mereka hanya siap 50 peratus! Tindakan pantas hanyalah untuk menahan pelajar di bawah akta lapuk ISA.

Khabarnya, semua laporan itu akan diserahkan kepada kabinet sebelum ia diumumkan. Laporan awal bomba yang diterima Isnin lalu gagal dibentangkan kepada jemaah menteri Rabu lalu walau telah dirancang berbuat demikian. Hairan, hal yang sebegini penting boleh ditangguh-tangguhkan oleh Umno.

Sebaliknya laman web rasmi Umno memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur dan seorang timbalan menteri semalam. Nampaknya parti itu sedang berkira-kira untuk menjernihkan imej pemimpin parti itu - angkara ulasan-ulasan ghairah mereka minggu lalu - yang semakin kelabu asap. Sebab itu sikap melengah-lengahkan pengumuman itu diambil oleh Perdana Menteri atau timbalannya.

Umno lupa kenyataan polis dan timbalan menteri itu tidak menafikan laporan Malay Mail dan Berita Harian. Timbalan menteri itu hanya menyebut "tidak ada pegawai jabatan bomba memberikan kenyataan (rasmi) kepada akhbar," bukannya menafikan kesahihan butirannya (walaupun beliau sendiri telah mendapat laporan lengkap itu).

Bagaimanapun Umno terperangkap lagi kerana dua akhbar itu diusahakan oleh syarikat dan kumpulan wartawan yang dikuasai oleh parti itu sendiri - ia bukan direka-reka oleh pelajar antikerajaan. "Penyangkalan (timbalan menteri) ini bukan bermakna menidakkan ketepatan beritaberita dari akhbar yang selama ini sering tepat dalam laporan mereka," tulisan yang sama dipetik.

Dan seperti lazim, Umno bukannya menumpukan kepada isi khusus isu yang sedang diperdebatkan, sebaliknya ia mengesyaki (lagi!) wujud tali barut dan pengkhianat yang cuba menghanguskan pengaruh mereka.

"Apa yang kita bimbangkan ialah bisa lantaran manipulasi ini menular dan mempengaruhi masyarakat, lantas mereka tanpa berfikir panjang terus membenci dan anti kepada pemimpin-pemimpin kerajaan dan Umno, lantas terus mengalihkan kepercayaan mereka terhadap pembangkang yang kononnya banyak mendedahkan kepincangan," tulisan pada laman web rasmi Umno dipetik.

"Kewujudan tali barut dan pengkhianat dalam organisasi kerajaan hendaklah diberi perhatian serius."


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini